Robert Kiyosaki adalah seorang ahli perniagaan dan pelabur yang pernah melalui zaman sukar dalam kehidupan, malah pernah jatuh miskin sehingga terpaksa tidur dalam kereta selama 3 minggu kerana tidak mampu membayar sewa rumah. Beliau akhirnya berjaya mengubah hidup sehingga berjaya dan berkongsi pengalamannya melalui buku 'RICH DAD POOR DAD'. Berikut adalah langkah-langkah disarankannya untuk menjadi kaya :
1. Ambil Keputusan untuk menjadi kaya
Banyak yang kita boleh belajar mengenai diri seseorang daripada perkataan-perkataan yang digunakannya. Kata-kata yang dilontarkan dan disimpan di dalam kotak fikiran membentuk dunia seseorang tanpa disedarinya. Kita terdengar orang berkata "saya hanya memerlukan duit yang mencukupi untuk membayar sewa rumah". "Saya perlukan beberapa ringgit saja sebelum dapat gaji esok". "Selepas selesai membayar bil-bil ini, saya tak tahu macamana keluarga saya nak hidup". Kata-kata seumpama ini sebenarnya sering digunakan oleh orang miskin yang fokus mereka hanyalah kepada survival kewangan. Mereka miskin kerana gagal mengurus wang. Jadi mereka yang berfikir begini atau menggunakan perkataan-perkataan ini selalu bergelut dengan survival kewangan, tanpa mengira berapa banyak pendapatan yang mereka perolehi.
Golongan pertengahan pula menggunakan perkataan-perkataan yang berbeza pula sebab mereka mempunyai idea bagaimana untuk menggunakan wang. "Rumah kita adalah aset yg paling penting dan pelaburan kita yg terbesar". "Setiap bulan kami ketepikan sedikit wang untuk disimpan bagi membayar pendahuluan rumah yang kami impikan". "Kami menabung untuk pengajian anak di kolej dan persaraan". Golongan pertengahan memberi tumpuan kepada keselesaan. Sebab itu ramai daripada mereka berkata, "Saya tidak mau menjadi kaya, saya hanya mau hidup selesa".
Bagaimanapun orang kaya menggunakan perkataan yang berbeza ; "Bagaimana anda membiayai pusat membli belah itu? Adakah melalui rakan kongsi atau pinjaman?". "Saya membeli saham itu melalui syarikat saya kerana kesannya dari segi cukai dalam jangka panjang adalah lebih baik". Orang kaya menggunakan perkataan-perkataan yang menjurus kepada aset. Mereka tidak fokus kepada survival jangka pendek atau dari hari ke hari, atau asyik memikirkan perbelanjaan seperti orang miskin. Mereka juga tak tertumpu kepada keselesaan dan pemilikan liabiliti menggunakan kad kredit seperti golongan pertengahan. Orang kaya menjadi kaya kerana mereka fokus kepada pemilikan jangka panjang aset atau harta seperti saham, bon, perniagaan dan hartanah yang memberi hasil. Maka tak hairan ada orang kaya yang rela mengorbankan makan minum, gaji yang diterima tiap bulan, percutian atau keselesaan tinggal di rumah yang cantik; untuk membina atau memiliki aset sebenar. Jadi, ambil keputusan untuk menjadi kaya, walaupun hari ini anda tak mempunyai wang, kerana keadaan itu hanya sementara.
2. Buat keputusan jenis masalah kewangan yang anda kehendaki
Hanya ada 2 jenis masalah kewangan; tak cukup wang atau terlalu banyak wang. Malangnya kebanyakan orang menghadapi masalah tak cukup wang. Ramai orang tau bagaimana bekerja untuk mendapatkan wang, tetapi mereka tak tau bagaimana mempunyai sumber tenaga dan wang bekerja untuk mereka. Jka anda ingin menjadi kaya, anda mesti pastikan segala wang lebihan mendatangkan lebih banyak wang. Anda perlu tau apa yang harus dilakukan dengan wang yang berlebihan itu sebelum ia menguasai anda. Kebanyakan orang berbelanja secara boros atau hanya menyimpan wang di dalam bank jika ada wang lebih.
3. Tulis rancangan anda dan ikut rancangan itu
Jika anda telah memilih untuk menjadi kaya walaupun hari ini anda tak mempunyai wang, buat rancangan dengan beberapa matlamat asas :
- tukar ciri pendapatan anda. Mulakan perniagaan secara separuh masa.
- ubah ciri perbelanjaan. Tukar perbelanjaan peribadi kepada perbelanjaan perniagaan.
- sahkan perniagaan.
- beli aset melalui perniagaan.
Kembangkan rancangan anda, pada waktu yg sama anda mesti bertahan untuk hidup kurang selesa buat sementara waktu. Hari ini anda perlu bersedia untuk tidak mempunyai cukup wang, tetapi bukan miskin.
4. Buat keputusan di mana anda mau membuat urusan perbankan
Anda boleh bezakan golongan kaya, miskin dan pertengahan daripada tempat mereka mendapatkan wang atau di mana mereka melakukan urusan perbankan. Bank bagi orang miskin ialah pajak gadai yang memberi pinjaman atas aset. Manakala golongn pertengahan mempunyai kewajaran kredit untuk menggunakan bank, serta simpanan dan pinjaman. Satu bentuk kredit popular bagi kumpulan ini ialah kad kredit yang amat mudah diperolehi. Orang kaya juga menggunakan bank, tetapi mereka berurusan dengan bank-bank yang berbeza. Mereka menggunakan khidmat bank pelaburan, atau menjadi modal persendirian daripada individu-individu kaya, atau wang dari institusi-institusi lain seperti syarikat insurans atau pasaran saham. Orang kaya yang berjaya sebagai ahli perniagaan, ia lazimnya tak menghadapi masalah mengumpul wang yang banyk dan mendapatkan pada kadar yang lebih baik.
5. Bijak pilih kawan dan rakan kongsi
Salah satu sebab orang kaya menjadi lebih kaya ialah mereka bergaul di kalangan orang kaya. Kebanyakan pelaburan yang baik datang daripada rakan-rakan yang kaya, bukan daripada broker saham atau broker hartanah. Jadi, pilih rakan-rakan yang mempunyai aspirasi untuk menjadi kaya, hidup selesa atau sekadar meneruskan hidup sahaja. Rakan-rakan yang hanya mau hidup selesa atau hidup cukup makan tidak akan faham mengapa anda ingin menjadi kaya, dan tanpa sedar mereka akan menurunkan semangat anda.
6. Beri masa kepada diri sendiri
Membina portfolio perniagaan dan pelaburan memerlukan masa. Membina perniagaan tak seperti mencari pekerjaan. Jika bekerja dengan orang lain, anda akan dibayar gaji, tetapi jika berniaga anda mungkin tak bergaji selama beberapa tahun. Sebab itu ada baiknya di peringkat awal anda berniaga secara separuh masa. Ada pandangan menyatakan 90% daripada perniagaan gagal dalam tempoh 5 tahun pertama. Antara puncanya ialah kekurangan ilmu dan pengalaman. Lagi pun perniagaan bukanlah sesuatu yang boleh anda pelajari di sekolah. Perniagaan adalah kombinasi pendidikan formal, pengalaman dan keberanian. Punca lain ialah wang. Anda mungkin pernah mendengar ungkapan 'membunuh angsa yang mengeluarkan telur emas'. Apabila memulakan perniagaan, ramai orang membunuh anak angsa itu sebelum ia cukup tua untuk mengeluarkan telur emas itu. Dalam kata lain kebanyakan perniagaan kecil tak mempunyai cukup modal, dan pemilik perniagaan cuba menyara hidupnya dan keluarga dengan perniagaannya yang belum cukup kukuh. Jadi, perniagaannya sering tak cukup modal sedangkan ia memerlukan wang untuk berkembang.
7. Mula kecil, impian besar
Hari ini anda mungkin mempunyai sedikit simpanan dan berfikir tak ada gunanya kerana anda tak akan ke mana. Sedangkan kawan anda mempunyai wang berjuta ringgit, tak mungkin anda dapat mengejarnya. Jika anda terus berfikir begitu, memang benar anda tak akan menempah kemajuan dalam hidup. Anda cuma membandingkan diri sendiri dengan orang yang lebih berjaya, dan cuba menyainginya, tetapi tidak menjadikan dia sebagai mentor atau kejayaannya sebagai inspirasi. Impikanlah sesuatu yang lebih besar walaupun anda harus bermula deagan sesuatu yang kecil. Mempunyai impian yang besar adalah penting kerana di dalamnya terdapat bahan-bahan yang penting untuk berjaya: harapan, kemahuan, kecintaan, tenaga, kepercayaan, semangat, inspirasi dan kreativiti. Bahan-bahan ini menjadikan hidup lebih bermakna. Ceritakan kepada orang lain mengenai impian anda itu, biar mereka mengkritiknya. Gunakan kritikan-kritikan itu untuk mengukuh keinginan anda itu.
8. Fokus
Tinggalkan atau kurangkan aktiviti yang kurang mendatagkan faedah dan beri tumpuan kepada pekerjaan yang anda ingin lakuknn. Jika anda ingin mempunyai kedudukan kewangan yang baik pada masa depan, anda harus menginsafi kelalaian lalu dan perbetulkan kegiatan anda hari ini.
9. Jadi lebih besar dengan lebih cepat
Masalah dalam perniagaan kecil ialah anda harus menjalankan semua kerja sendiri kerana tidak mempunyai modal mencukupi mengambil pekerja. Peniaga kecil bermula secara kecil dan terus dengan perniagaan itu. Jika anda ingin berkembang maju dan lebih besar, perniagaan atau pelaburan yang anda buat mesti bekerja untuk anda. Satu perniagaan kecil kurang berkesan utk menjadikan anda kaya, anda harus mempunyai lebih banyak perniagaan-perniagaan kecil itu. Mereka yang mempunyai impian kecil, berfikir kecil sering kali terpaksa bekerja keras dengan pulangan yang sedikit. Jadi, cuba fokus; dapatkan ilmu serta pengalaman sebanyak mugkin, mula secara kecil-kecilan, dan kembangkan perniagaan secepat mungkin. Lebih banyak aset yang anda miliki, berkurangan kerja yang perlu anda lakukan dan lebih banyak wang akan anda perolehi.
10. Lebih banyak anda berkongsi, anda menjadi lebih kaya
Jika anda tamak, kedekut atau terlalu takut untuk berbelanja, lebih lama tempoh yang akan anda ambil untuk menjadi kaya. Fokus untuk melakukan lebih banyak walaupun mendatangkan pulangan yang kurang, tetapi untuk lebih ramai orang. Anda perlu berkongsi kekayaan dengan orang lain seramai mungkin. Bermurah hatilah dan cuba berkongsi. Jika anda berbuat demikian, anda akan menjadi lebih kaya berbanding mereka yang hanya bekerja untuk diri sendiri.
Akai_pc - wang bukanlah segala-galanya, tetapi manusia memerlukannya.
Ahad, 10 Februari 2008
10 Langkah Untuk Kaya
Labels:
Ekonomi dan Perniagaan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan