Land Warrior atau dalam bahasa Melayunya ialah Wira Darat. Kali ini saya nak menceritakan tentang kisah sejarah kepahlawanan individu pula. Zaman dulu seorang pahlawan yang hebat perlu memiliki kemahiran yang hebat dalam bermain senjata dan melemahkan gerakan lawannya, begitu juga pada zaman kini seorang perwira perlu mempunyai kemahiran yang hebat juga dari segi taktikal dan kelengkapan senjatanya. Saya bukanlah hendak menceritakan tentang persenjataan yang dipakai seperti jet pejuang ataupun kereta kebal. Itu semua adalah peralatan sokongan untuk peperangan yang besar. Tetapi apa yang hendak saya ceritakan ialah tentang kemahiran individu dan persediaan kelengkapan yang perlu dimilikinya untuk menjadi seorang wira darat yang hebat.
Di zaman kesultanan Melayu Melaka, Hang Tuah merupakan seorang wira laksamana yang hebat dengan kemahiran bersilatnya. Silat yang dipelajari bukanlah mudah diperoleh begitu saja, menurut hikayatnya Hang Tuah lima bersaudara telah pergi bertapa berguru dengan seorang guru silat yang handal. Daripada lima orang bersaudara itu, Hang Tuah lah yang paling menonjol kemahirannya dan bijak dalam mengatur rentak dan langkah silat semasa menghadapi lawan. Sehinggakan langkah lawannya boleh dipatahkan lalu ditewaskannya dengan mudah. Ini terbukti apabila hikayat dahulu kala menceritakan Hang Tuah berjaya menewaskan seorang pahlawan yang mengamuk membunuh orang kampong di kota Melaka.
Menurut ceritanya pahlawan itu sukar untuk ditewaskan kerana memiliki sebilah keris sakti yang menjadikan dia kebal. Tetapi dengan kemahiran Hang Tuah, pahlawan itu dapat ditewaskan dan keris saktinya dihadiahkan kepada Hang Tuah. Keris itu kemudiannya dinamakan Taming Sari bersempena dengan nama pahlawan yang mengamuk itu. Dengan kemahiran silatnya dan kebijaksanaan mengatur langkah serta keris Taming Sari yang dimiliki Hang Tuah menjadikan dia seorang perwira yang hebat. Jadi, Hang Tuah tidak saja mahir dan bijak bersilat semata-mata tetapi juga mempunyai senjata keris yang terbaik pembuatannya dan mungkin juga telah dijampi serapah supaya mempunyai sakti.
Itu hikayat sejarah Hang Tuah, kita imbas kembali pula kisah sejarah kepahlawanan perwira Islam Syaidina Ali Radiallahu Anhu (RA). Menurut hadis-hadis Rasulullah, Syaidina Ali merupakan seorang perwira yang berilmu pengetahuan tinggi bukan saja dari segi pengetahuan agama malahan juga pengetahuan ilmu yang lain. Sehinggakan beliau digelar sebagai Harimau Allah kerana ilmu dan kepahlawanannya yang hebat dalam menghadapi musuh Islam. Dengan pengetahuannya yang tinggi beliau dapat memantapkan kemahirannya bermain pedang dan menunggang kuda. Sehinggakan gerak langkahnya melibas pedang dapat menandingi pahlawan musuh yang bengis dan ganas serta ketangkasannya menunggang kuda dapat mengelirukan pergerakan musuh yang berkuda.
Sehingga kini kita masih boleh melihat tinggalan sejarah berupa pedang yang digunakan oleh Syaidina Ali dahulu di muzium Islam (tapi bukan original). Dengan kehebatan ilmu pengetahuan dan kemahiran berlawan Syaidina Ali, maka beliau dipilih menjadi pahlawan pertama yang menentang musuh secara satu lawan satu ketika perang Badar, perang yang menentukan jatuh bangunnya perjuangan Islam di masa akan datang. Dengan keperwiraan Syaidina Ali, beliau berjaya menumpaskan panglima terbaik musuh Islam dalam perlawanan satu lawan satu itu. Perwira Islam kemudian muncul satu demi satu, mereka muncul bersama ilmu pengetahuan, kebijaksanaan, kemahiran dan ketangkasan serta memiliki senjata pedang dan kuda yang berkualiti terbaik. Agar dengan memiliki semua itu perwira Islam tersebut dapat membangkitkan semangat pengikutnya untuk berjuang di jalan Allah memperjuangkan ajaran dan kebenaran Nya.
Itu semua hanyalah kisah-kisah sejarah kepahlawanan orang dulu-dulu yang pakai keris dan pedang untuk menewaskan musuhnya secara satu lawan satu atau satu lawan dengan beberapa orang. Siapa yang tangkas dan mahir sudah pasti akan menang dalam pertempurannya menewaskan sungguhpun musuh ramai. Zaman moden sekarang tiada lagi yang pakai senjata kuno seperti itu, sehebat mana sekali pun gerak langkah dan bunga silat yang ditunjukkan di depan lawan, musuh yang berdiri tegak di depannya hanya sekali petik saja pistol atau M16 digenggaman tangannya akan membunuh terus seorang perwira darat yang hebat itu atau berpuluh-puluh yang lain berada di depannya tanpa perlu berpeluh-peluh bersusah payah menunjuk langkah silat. Mungkin pada pandangan kita sebagai seorang individu yang bergelar askar perlu mempunyai kemahiran menggunakan senjata yang dimilikinya semata-mata. Bagi saya mahir saja tidak cukup, sesiapa saja boleh belajar dan menggunakan senjata api seperti pistol atau M16 atau AK47, seorang askar perlu juga memiliki peralatan yang lengkap dan canggih untuk bertempur.
Apatah lagi bertempur dengan menggunakan senjata api tidak memerlukan seorang askar itu berlawan mengatur langkah menumbangkan musuh dengan fizikal tubuh badannya. Apa yang diperlukan ialah kebijaksanaan mengatur strategi dan mempersiapkan diri dengan kelengkapan yang cukup. Kelengkapan yang cukup bermakna seseorang askar itu boleh memanipulasikan keadaan dan seterusnya menguasai medan peperangan dengan memilih peralatan yang sesuai untuk digunakan mengalahkan musuh secara mutlak. Semua ini memerlukan ilmu pengetahuan yang tinggi, membina dan mencipta senjata sebagai satu peralatan untuk seseorang askar juga memerlukan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dari segi penggunaan teknologi. Peperangan kombat hari ini tidak lagi dilakukan secara bersemuka, sebaliknya dilakukan secara sembunyi-sembunyi atau serang hendap atau tembak curi. Bagaimana seorang askar boleh menghadapi semua ini sekiranya dia sekadar mempunyai peralatan senjata asas dan ilmu mengesan musuh secara agak-agak saja tanpa dapat mengesan dengan tepat berdasarkan maklumat semasa yang diperolehi.
Mungkin anda kenal Kanang anak Langkau, seorang askar Renjer Sarawak yang pakar mengesan jejak komunis dalam era 70-an dan 80-an dulu. Dia mempunyai ilmu pengetahuan bagaimana untuk mengesan musuh berdasarkan jejak tetapi bila bertempur dengan komunis, namun dia akan sama juga seperti komunis itu iaitu saling berbalas tembakan antara satu sama lain bersembunyi disebalik pokok dan meniarap di dalam semak. Disebabkan askar kerajaan memiliki kelebihan anggota yang terlatih dan senjata M16 yang lebih baik dari apa yang dimiliki komunis, maka askar kerajaan boleh menang. Itu saja kelebihan askar kita dulu.
Namun, zaman sudah berubah maka askar kita pun berubah, sistem persenjataan dipertingkatkan dan ilmu taktikal peperangan diperbaiki. Musuh kita bukan lagi komunis di dalam hutan tebal Malaysia tetapi musuh kita ada di sempadan negara, di ruang udara, di permukaan laut dan di dasar laut. Kita tak katakan yang askar Thailand, Singapura, Filipina dan Indonesia itu sebagai musuh kita tetapi masing-masing berpotensi menjadi musuh jika mereka merasakan perlu untuk menyerang negara kita. Bakal musuh tidak saja datang dari sempadan negara tetapi juga boleh datang dari beribu-ribu batu jauhnya datang ke Malaysia semata-mata nak merebut dan menguasai kekayaan yang ada di dalam negara kita.
Bagi negara yang lebih maju, untuk menghadapi pasukan musuh secara senyap, unit komando ditubuhkan agar askar terpilih memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi bagaimana untuk mengesan posisi musuh dan memusnahkan asset strategic musuh di barisan hadapan tanpa perlu mendedahkan diri secara menonjol. Namun askar komando ini masih lagi terdedah kepada bahaya dan untuk memastikan keselamatannya seseorang komando itu perlu bijak mengawal keadaan di sekelilingnya secara main agak-agak saja tanpa mempunyai maklumat yang cukup. Maklumat yang dia perolehi cuma berdasarkan taklimat yang diberikan oleh komandernya sebelum dia melaksanakan misinya memasuki barisan hadapan musuh. Untuk berhubung dengan pusat kawalan bagi menghantar ataupun mendapatkan maklumat sokongan, perlu menggunakan komunikasi radio.
Namun, dengan ilmu yang semakin tinggi hari ini maka teknologi yang semakin canggih dicipta untuk kegunaan seorang askar di medan perang bagi menghadapi peperangan yang semakin senyap dan tersembunyi menggunakan sistem teknologi informasi C41 (pengarahan, pengawalan, perhubungan, perkomputeran dan perisikan). Zaman kini untuk berperang hendaklah bijaksana dan mestilah penuh rahsia. Bukan seperti zaman Rom atau Yunani yang bertempur secara berdepan dengan jumlah askar beratus ribu hingga berjuta orang. Bukan lagi seperti zaman kesultanan Melayu bersilat antara satu sama lain dan membaling tombak serta menghunus keris dan parang kontot. Bukan juga seperti zaman perang dunia pertama dan kedua, askar berdepan saling berbalas tembakan bila terserempak.
Zaman sekarang ialah zaman askar menjejak, mencari dan memusnah. Bila terjumpa saja jejak musuh tidak akan terus menyerang kerana misinya bukan untuk memusnah secara mutlak sebaliknya mengumpul maklumat tentang kekuatan musuh, kedudukan musuh dan persenjataan musuh. Maklumat-maklumat ini akan dihantar terus secara masa sebenar (real-time) ke pusat kawalan untuk dianalisa oleh kamander seterusnya merangka bagaimana untuk menyerang dan menawan musuh. Bermakna askar komando yang berada di dalam kawasan barisan hadapan musuh menjadi perisik, mata dan telinga untuk mengetahui keadaan sebenar musuh pada waktu semasa.
Maka itulah, langkah seterusnya mungkin komander memerintahkan pasukan tentera udara dikerah ke kawasan musuh itu ataupun jika mempunyai pesawat yang lebih canggih lagi menghantar pesawat halimunan B-2 atau B52 atau F22 Raptor untuk memusnah kedudukan pasukan musuh dengan tepat pada masanya tanpa perlu mendedahkan diri pesawat jet di ruang angkasa musuh, takut nanti musuh bertindak balas menggunakan peluru berpandu atau menghantar pesawat pemintas. Maka lebih baik menghantar pesawat halimunan ataupun UCAV untuk melancarkan hellfire ke kedudukan peluru berpandu itu atau lokasi utama musuh yang telah dijejak oleh askar komandonya di darat.
Jika pasukan hadapan musuh sudah lemah dan tidak dapat menangkis secara agresif maka dapatlah pasukan askar darat yang lebih besar dihantar yang terdiri daripada kereta kebal mahupun pasukan infantry. Jika maklumat dari askar komando memberitahu bahawa kawasan musuh bertanah paya dan berhutan tebal maka kereta kebal dan senjata berat yang lain serta pasukan infantry akan dihantar menggunakan helicopter berat seperti Chinook atau yang terbaru sekarang ini V-22 iaitu pesawat separuh helicopter dan separuh pesawat terbang yang lebih cekap dan pantas sekali menghantar senjata berat di dalam kawasan musuh dengan mudah.
Kesemua kecanggihan peralatan perang dan kemampuan seorang askar komando seperti yang dinyatakan tadi mungkin tidak dimiliki oleh askar kita, tetapi ia adalah gambaran sebenar bagi seorang askar Amerika dan keseluruhan pasukan darat, udara dan laut Amerika Syarikat. Mengapa mereka memiliki kecanggihan itu? Kerana mereka memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi seperti ilmu computer dan pengaturcaraan sistem dan mempunyai kemahiran untuk mencipta dan membina peralatan senjata askar mereka dengan baik setelah diuji prototaipnya dan direka bentuk semula dari satu versi lama ke satu versi baru untuk memperbaiki kelemahan yang wujud selepas digunakan di medan perang.
Mereka juga bijak menggunakan senjata dan menggunakannya mengikut situasi tertentu sahaja. Kerana mereka tahu teknologi persenjataan yang mereka miliki terlalu mahal harganya maka mereka tidak menggunakan sepanjang masa tetapi akan menggunakannya mengikut strategi dan taktikal yang perlu untuk menggunakannya. Itulah hasil dari ilmu pengetahuan, apabila ilmu itu dapat membentuk kemahiran dan kepakaran, kemudian melahirkan kebijaksanaan untuk mempergunakannya dengan sebaik-baiknya. Adakah ahli strategis dan komander askar kita memikirkan semua itu, mungkin ada memikirkannya tetapi tidak mampu mencapainya kerana kurangnya ilmu pengetahuan, kurangnya kepakaran, kurangnya kemahiran dan juga kekurangan modal. Kerana kekurangan itulah pasukan tentera kita hanya bergantung harap kepada kecanggihan teknologi senjata negara luar dengan membelinya kerana negara kita tidak berupaya mencipta dan membinanya sendiri lantaran tiada bijak pandai yang boleh membangunkannya untuk negara. Kalau ada pun bijak pandai, mereka telah berhijrah ke luar negara kerana peluang mereka di sana lebih baik dan diberi layanan yang istimewa lantaran ilmu dan kemahiran mereka dihargai oleh pihak lain.
Berbicara tentang Land Warrior pula, ia merupakan askar masa depan Amerika Syarikat yang mempunyai sistem tempur lengkap. Ia mempunyai beberapa sub-sistem; iaitu sub-sistem helmet bersepadu yang lebih ringan dan dipasang dengan sistem teropong satu lensa bagi kegunaan di siang hari, penderia penglihatan malam dengan paparan nipis, alat pengesan pancaran laser, cermin pelindung mata, mikrofon dan fon telinga, mempunyai skrin kecil paparan berwarna dengan ciri-ciri audio dan video, sungguhpun kecil apabila dilihat pada sebelah mata seperti melihat pada skrin 17 inci. Uniform yang mempunyai tahap perlindungan tinggi dengan ves kalis peluru yang lebih ringan dan mempunyai reka bentuk unik dengan kerangka yang berisi ruang 4cm bagi membolehkan pemakainya rasa dingin dan tidak panas, fakta keselamatan maklumat dipertingkat dengan kemudahan memadam segala maklumat dengan menekan satu butang khas saja, maklumat kritikal juga boleh dipadamkan sekiranya perlu.
Computer berasaskan cip Pentium III 500MHz dengan kemampuan penstoran 800Mb yang berfungsi menggunakan Windows 2000. sub-sistem radio pula menggunakan pemproses intel SA1100 dan berfungsi menggunakan Windows CE. Sub-sistem persenjataan pula menggunakan M16/M-4 karbin yang bersifat modular. Senjata ini dipasangkan dengan pengukur jarak laser, kompas digital, video kamera, penunjuk sasaran laser dan pengimbas haba. Selain itu, sistem-sistem lain seperti ransom boleh diambil oleh seorang askar komando dalam masa 72 jam walaupun ketika dia sedang berjalan atau sedang bertempur. Terdapat juga sistem pelekat plaster khas mengandungi vitamin dan zat, askar tersebut hanya perlu menampalkannya pada lengan dan bahan vitamin dan zat itu akan diserap menerusi kulit menggunakan sistem yang dipanggil TNDS (transdermal nutrient delivery sistem).
Selain itu juga pelekat tersebut juga boleh berbentuk bahan ubatan dan farmaseutikal yang boleh digunakan oleh askar akibat tercedera atau terdedah kepada cuaca yang melampau. Nah…lihatlah betapa tingginya ilmu orang Amerika sehingga mereka mahir menggunakannya untuk kebaikan askar mereka. Mereka boleh mengetahui kedudukan musuh walau di tempat yang tersembunyi sekalipun dengan teknologi GPS serta penguat gelombang bunyi sekitarnya untuk mengesan kedudukan musuh. Bahkan dengan memiliki pelancar grened pelbagai guna yang boleh dilancarkan 5 grened secara berterusan bukan saja boleh melancarkan grened yang memusnah, tetapi juga grened khas yang akan memancarkan cahaya di ruang udara tempur pada waktu malam serta melancarkan grened yang mempunyai kamera ke udara dan jatuh menggunakan payung terjun untuk melihat seluruh kawasan tempur.
Kelebihan ini mengakibatkan musuh tidak lagi dapat bersembunyi. Itu baru saja diperlihatkan dengan Land Warior, belum lagi Air Warior ataupun Sea Warrior yang boleh anda lihat sendiri di kaca TV atau rencana-rencana astro. Melihat kepada kecanggihan sistem Land Warrior ini sudah pasti ia cukup mahal sekali dan ia tak mungkin digunapakai oleh semua askar darat Amerika, hanya komando khas yang terlatik dan terbaik saja yang akan menggunakannya untuk misi-misi tertentu saja dan bukan untuk semua medan peparangan. Sudah pastinya juga sistem pada Land Warrior ini akan diperbaiki dan dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa mengikut perkembangan teknologi maklumat mereka yang terkini apatah lagi mereka mempunyai ramai golongan bijak pandai dalam bidang itu.
Mengapakah orang Amerika boleh maju ke tahap itu? Kerana mereka belajar sejarah, mereka mengambil iktibar dan pengajaran dari sejarah lalu untuk mempertingkatkan lagi ilmu pengetahuan mereka agar memiliki kemahiran, kepakaran serta keupayaan untuk memperbaiki sebarang kelemahan, mencipta sesuatu yang boleh memperteguhkan kekuatan mereka dan membina sesuatu yang lebih hebat lagi dari apa yang ada pada musuh dan saingan mereka. Dahulu mereka bangsa yang lemah pernah dijajah British tetapi mereka tak mahu mengaku. Dahulu mereka begitu mudah sekali ditewaskan dan diserang musuh seperti Jepun di Pearl Harbour dan Al-Qaeda di Washington.Kerana itu saya tekankan bahawa sejarah ini sangat penting dan sejarah inilah yang akan menentukan jatuh bangunnya sesuatu cabang ilmu yang lain.
Sejarah adalah kisah silam yang banyak kekurangan dan kelemahannya, maka kita pelajarilah sesuatu yang baru untuk memperbaiki dan memperkukuhkan kekuatan kita. Bukan setakat hanya belajar sejarah semata-mata tetapi belajarlah ilmu sains dan teknologi yang lain, ilmu strategic dan taktikal, ilmu agama untuk mengukuhkan semangat dan keyakinan kita terhadap apa yang mesti kita perjuangkan dan banyak lagi ilmu lain yang perlu kita kuasai. Tapi kena ingat, jangan bila sudah mempunyai ilmu yang tinggi dan kekuatan yang tidak mudah dicabar, menjadi sombong dan bongkak macam Bush, sewenang-wenangnya membuli dan menyerang negara lain.
Kita juga kena belajar sejarah bahawa bangsa yang sombong dan bongkak ini walau hebat mana sekalipun akhirnya akan runtuh dengan sendirinya dan warisan ilmu pengetahuan serta kemampuan teknologi mereka akan jatuh ke tangan pihak lain yang lebih berhak memegangnya. Sejarah Firaun, Rom, Turki Uthmaniah, Soviet Union, semuanya jatuh dan runtuh kekuatannya kerana sombong, bongkak dan lupa diri mengakui diri mereka saja yang hebat dan menindas bangsa lain serta menganiaya rakyat sendiri. Bahkan sejarah Islam sendiri yang lupa, lalai dan suka bertelagah sesama sendiri dalam hal hukum hakam menyebabkan ilmu lain dipinggirkan, lalu umat Islam ketinggalan jauh ke belakang hari ini dan dengan mudah saja dibuli, diratah dan difitnah siang dan malam ke seluruh dunia menerusi media masa ‘in real time’. Nasib kita masih baik kerana ada stesen al-Jazeera sebagai sumber maklumat berita alternative bagi menyeimbangkan maklumat berat sebelah media barat.
Rabu, 6 Februari 2008
Land Warrior
Labels:
Pertahanan dan Keselamatan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan