Dunia sekarang ini sudah tidak ada sempadan lagi dan boleh ditembusi oleh sesiapa saja kerana langit sudah terbuka untuk dicerobohi oleh sesiapa saja menerusi teknologi maklumat dan komunikasi digital. Dengan kemajuan teknologi ini, mana-mana negara boleh menakluk minda rakyat negara lain dan menghasut mereka sama ada secara langsung atau tidak langsung untuk mengikut kehendak mereka. Bahkan boleh menjadikan rakyat negara lain menjadi rakyat negara mereka secara tidak langsung dengan membudayakan bangsa lain dengan budaya mereka.
Kita lihat saja perkembangan yang berlaku pada hari ini apabila Amerika Syarikat cuba menakluk dunia dengan membudayakan rakyat seluruh dunia dengan budaya Amerika dan fahaman demokrasi ala-Amerika. Penaklukan dibuat menerusi televisyen dengan menyebarkan pengaruh budaya barat ala-Amerika menerusi filem-filem Hollywood, pertandingan miss world and universe, pertunjukan fesyen dan sebagainya yang boleh ditayangkan menerusi rangkaian televisyen satelit. Sungguhpun kewarganegaraan adalah negara sendiri tetapi budaya, gaya hidup, pertuturan, semangat dan jiwa tidak lagi bersifat tempatan, sebaliknya lebih kepada kebaratan dan Amerika. Tidur bola, makan bola itulah coca-cola.
Saya bukanlah anti kemajuan, apa yang dipersoalkan ialah setiap tahun kita menyambut hari kebangsaan tetapi jiwa kita tidak melambangkan kemerdekaan, kita tidak patriotic dan mempunyai sikap nasionalisme yang tulen dalam mempertahankan perkembangan dan kemajuan budaya bangsa sendiri. Sebaliknya lebih berbangga dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan walaupun ketika bercakap dalam kalangan rakyat sendiri. Lebih suka menonjol dengan fesyen barat dan menghasilkan filem ala-ala barat. Televisyen hari ini merupakan alat penyebar maklumat dan hiburan yang sangat meluas dan berkesan sekali kerana ia boleh dibuka dan disiarkan 24 jam sehari. Apabila pendedahan maklumat ‘ala-Amerikana’ disiarkan dalam setiap aspek kehidupan di televisyen maka ia juga akan dipraktikkan dalam reality kehidupan kita sehari-hari.
Di dalam televisyen budaya barat, di sekeliling kita hari-hari pun budaya barat jadi lama-lama kelak akan jadi barat semuanya. Tiada lagi budaya tempatan atau budaya bangsa kerana sedikit demi sedikit kian terhakis oleh budaya barat yang menyerap masuk dalam gaya kehidupan seharian rakyat. Lebih malang lagi apabila orang kita lebih teruk dari orang barat itu sendiri dalam aspek budaya kehidupan seharian seperti berpakaian dan aktiviti social. Jika pihak yang bertanggungjawab tidak bersungguh-sungguh untuk mempertahankan budaya bangsa sendiri sebaliknya mereka sendiri juga lebih cenderung kepada kebaratan maka tidak mustahil suatu masa kelak negara asing seperti Amerika hanya perlu memberi arahan kepada bonekanya dari kalangan rakyat tempatan untuk mengikut apa yang diperintahkan demi mencapai usaha penaklukan secara tidak langsung ke atas negara lain.
Segala kekayaan negara lain akan dihantar ke Amerika menerusi hubungan perdagangan dan ekonomi, negara lain yang berjiwa barat dan Amerika hanya bergantung kepada Amerika dalam kehidupan seharian mereka. Amerika boleh mencipta dan mengeluar pelbagai jenis barangan kemudian dijual kepada negara yang menerima pengaruhnya dan rakyat negara itu akan menggunakannya. Dari aspek ekonomi Amerika akan menerima lebih banyak keuntungan dengan mendapat lebih banyak kontrak pembangunan dan penjualan komoditi. Amerika juga akan mendapat banyak hartanah di negara lain menerusi pembinaan bangunan perniagaan milik mereka seperti KFC dan McDonald serta gedung-gedung perniagaan yang lain. Pemilik adalah mereka tetapi diuruskan oleh rakyat tempatan.
Inilah bentuk penjajahan baru negara asing ke atas negara yang merdeka dari aspek fizikal semata-mata tetapi fizikal negara mereka sedikit demi sedikit cuba diambil alih oleh penjajah baru ini secara tidak langsung melalui boneka mereka yang menjadi pekerja dan rakan kongsi mereka. Rakyat tempatan biasa pula hanya menjadi kuli dan rakyat kelas kedua atau ketiga di negara sendiri. Kemajuan itu biarlah tunduk dengan keperluan dan kehendak kita, jangan kita tunduk kepada bentuk kemajuan itu dengan menerima segalanya. Mana yang bermanfaat kita terima dan mana yang merosakkan kalau masih ada ruang untuk dimanfaatkan kita boleh perbaiki. Sementara yang langsung merosakkan kita singkirkan terus.
Tetapi adakah ini dapat dilakukan dalam keadaan jiwa kita yang tiada benteng keimanan dan memiliki akal yang kritikal. Kebijaksanaan itu penting tetapi kalau hanya bijaksana semata-mata tidak memadai kerana hari ini semakin ramai orang yang bijaksana melakukan perkara-perkara jenayah dan maksiat secara professional, disamping ada juga yang bijaksana melakukan hal-hal yang menunjukkan kebodohan diri sendiri. Kita memang tidak akan mencapai kesempurnaan yang diharapkan kerana pasti ada yang kekurangan dan kelemahan wujud terhadap apa yang kita lakukan. Sekiranya ia tidak disengajakan memang boleh kita terima alasannya tapi kalau ‘yang sudah terang pun lagi bersuluh’ itu bukan lagi lemah atau kurang, itu memang sengaja nak cari penyakit dan memburukkan lagi keadaan.
Selama ini negara kita memang ada mengusahakan kemajuan mengikut acuan sendiri tetapi disebabkan oleh adanya segelintir ‘virus’ dan ‘parasit’ yang menyerang akar dan tunasnya yang baru nak tumbuh maka pertumbuhannya menjadi terencat. Maju memang pun maju tetapi jika tiada ‘parasit’ itu sudah pasti negara kita boleh mencapai kemajuan dan matlamat dengan jayanya tanpa sebarang kos untuk menampung kerugian yang disengajakan dibuat oleh ‘parasit’ ini. Kalau negara Jepun dan Jerman boleh bangkit kembali dari kemusnahan perang dalam tempoh hanya 30 tahun saja, seharusnya kita sudah mencapai 50 tahun kemerdekaan dapat memperkukuhkan lagi kedudukan industri berat, industri elektronik, pemantapan bahasa Melayu dan menjayakan penyusunan semula ekonomi dan social masyarakat kita yang berbilang kaum. Kita lihat Jepun berupaya menghasilkan pengaturcaraan computer dalam bahasa Jepun, begitu juga Jerman berjaya mempertingkatkan lagi teknologi kejuruteraan mereka. Itu hanya satu dua contoh saja, sebenarnya banyak lagi kemajuan bangsa-bangsa timur lain yang cuba mempertahankan budaya mereka agar tidak terhakis oleh budaya barat dan Amerika.
China sungguhpun akhir-akhir ini semakin galak dengan kemajuannya setelah dasar tutup pintu dilonggarkan dari aspek ekonomi, namun budaya asas masih lagi dipertahankan. Sebagaimana yang kita ketahui tentang revolusi kebudayaan China adalah untuk mengubah budaya silam yang menghalang kepada kemajuan bangsa mereka. Tidak bermakna semuanya perlu diubah, cuma yang diubah adalah kefahaman konservatif yang menghalang kepada pemikiran terbuka. Kemajuan dari luar diterima masuk tetapi ianya perlu dikawal agar tidak mengancam kedudukan budaya bangsa yang asal. Sungguhpun kita berpakaian kot ala-barat semasa bekerja, ada ketikanya hari kita memakai pakaian budaya kita.
Di negara kita, penggunaan batik setiap khamis adalah satu usaha yang menggalakkan penerapan budaya bangsa kita. Bahkan ada sesetengah pihak menggunakan baju Melayu setiap hari Jumaat di tempat kerja mereka. Sementara bagi kaum yang lain pula turut mencerminkan kebudayaan mereka menerusi pakaian yang dipakai semasa bekerja. Ini sesuatu perkembangan yang baik sekali untuk diperkembangkan lagi. Cuma satu perkara yang tidak begitu memuaskan dalam masyarakat kita iaitu penggunaan bahasa kebangsaan. Kita bercakap bercampur aduk, kalau hendak berbahasa Inggeris biarlah terus berbahasa Inggeris sepenuhnya, tak perlu separuh Inggeris separuh Melayu atau separuh mandarin atau separuh tamil atau separuh iban. Memang betul kalau nak mahir bahasa Inggeris mesti dipraktikkan hari-hari, mempraktikkannya melalui penulisan blog juga adalah satu usaha komunikasi dengan pembaca-pembaca blog dari seluruh dunia yang memahami bahasa Inggeris.
Kalau bukan kita sendiri yang nak hormat bahasa budaya bangsa kita, siapa lagi yang akan menghormatinya. Kerana itulah sejak akhir-akhir ini terdapat satu keadaan yang menunjukkan ada golongan lain yang bukan Melayu atau bumiputera tidak lagi menghormati hak orang Melayu kerana kita sendiri yang tidak menghormati budaya dan bahasa kita sendiri. Kerana itulah mereka berani mencabar dan mengungkit hak-hak yang lain kerana hak yang asas dan begitu mudah pun kita sendiri tidak menghormati dan menjaganya dengan baik. Kerana itulah mereka mula berani memperlekehkan bangsa Melayu. Selama ini pun bangsa Melayu dan bumiputera telah banyak berkorban untuk menerima mereka memiliki harta benda di negara kita dan mengecapi segala kesenangan dan kemudahan di negara ini.
Mungkin kita ada silap juga kerana sikap kita yang lembab dan lambat bertindak untuk berusaha memajukan diri sendiri sehingga ketinggalan di belakang mereka, apabila ada antara orang kita hendak maju ada pula orang kita yang lain ‘menjahanamkannya’. Sikap dengki dan cemburu ini perlu dihapuskan dan sepatutnya telah hapus lama dulu seiring dengan kedatangan Islam di negara kita. Tapi kita sememangnya sentiasa mudah lupa kerana ‘akar’ kita tidak kuat dengan iman dan ‘pucuk’ kita pula rapuh tidak dijaga dan dibaja dengan baik supaya dapat tumbuh membesar dengan sempurna. Sepatutnya di zaman yang semakin moden ini kita pantas berubah ke arah kebaikan tetapi dengan dunia tanpa sempadan rakyat kita makin cepat terdedah kepada kerosakan akibat asas dalaman diri kita sebagai muslim yang sangat rapuh dan tidak diperteguhkan dari hari ke sehari.
Sabtu, 2 Februari 2008
Dunia tanpa sempadan
Labels:
Sosial dan Kemasyarakatan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan