Bila saya baca blog atau laman web orang lain, ada antara mereka berpendidikan tinggi dan mempunyai jawatan yang lebih baik dalam masyarakat berbanding saya. Kadang-kadang saya rasa malu juga dan rasa rendah diri bila membandingkan saya dengan mereka. Ada yang bergelar ustaz, jurutera, doctor, ahli falsafah dan bermacam-macam lagi. Disebabkan mereka berpelajaran tinggilah mereka menjadi Blogger untuk menyampaikan ilmu dan pengalaman mereka.
Tetapi apabila saya fikirkan bahawa kita semua ini manusia, sama saja memiliki panca indera yang dianugerahkan Allah samarata dan saya juga seorang Muslim mengetahui apa yang saya baca menerusi kitab al-Quran dan hadis, maka saya tidak perlu rasa rendah diri dan malu dengan apa yang ada pada diri saya. Kerana bagi Allah swt, yang membezakan setiap manusia adalah keyakinannya dalam kepercayaan beragama, sementara di kalangan Muslim pula adalah berdasarkan takwa. Saya fikir orang bijak pandai di kalangan Muslim sudah sedia maklum akan perkara ini.
Saya tidaklah berkelulusan tinggi sangat untuk melayakkan saya memegang jawatan yang penting dalam masyarakat. Mungkin ada orang akan mengata saya : “tidak perlulah cakap lebih-lebih berlagak macam orang pandai kalau setakat lulus SPM atau bekerja ‘kuli’ dalam kerajaan”. Saya sedar akan perkara itu dan saya hanya dapat mengagak tentu akan ada orang berkata demikian sama ada secara langsung atau tidak langsung. Begitulah zaman sekarang, zaman materialistic dan individualistic, semuanya cuba membanding-bandingkan diri mereka dengan orang lain siapa yang lebih baik. Patutnya yang pandai bantulah yang kurang pandai, yang jadi ‘boss’ bantu dan berilah bimbingan pada orang bawahan.
Bila ada orang lain yang lebih rendah dari mereka janganlah orang itu diperlekehkan dan tidak dihormati. Kerana itulah ramai kalangan orang kita berusaha belajar tinggi-tinggi supaya tak dipandang hina dan rendah oleh orang lain kerana masyarakat kita sekarang hanya menghargai orang yang berjawatan dan berpendidikan tinggi saja. Kalau semuanya jadi doctor, jadi jurutera, jadi pegawai, siapa pula nak jadi ‘kuli’ untuk bekerja dibawah mereka. Kalau tidak ada ‘kuli’ apa yang mereka rancang dan usahakan tak akan berjalan dan berhasil.
Saya tidak mengatakan semua tapi segelintir, namun pengalaman saya menunjukkan bahawa sebagai seorang berjawatan rendah bila berhadapan dengan orang berjawatan tinggi, layanan yang diberi adakalanya merendah-rendahkan orang yang tidak setaraf dengan mereka. Tidak menghargai masa orang biasa, bukan nak minta dilayan macam anak raja tapi cukuplah dengan senyuman dan budi bahasa dan sopan santun yang baik. Kalau saya sendiri tak berbuat baik terhadap orang lain, mungkin saya tak akan merungut disini tetapi disebabkan saya telah melakukan yang terbaik maka saya berhak mengatakannya untuk menunjuk rasa tidak puas hati terhadap sesiapa yang berjawatan tinggi dan berkelulusan tinggi yang tidak ada budi pekerti yang baik dan membangga diri.
Justeru itulah saya tidak mahu berdiam diri saja dan mesti berkata sesuatu melalui saluran ini. Saya tidak mahu merendahkan diri saya dan malu dengan kekurangan diri yang saya ada sekarang. Tidak bermakna saya seorang yang tak berilmu, tak tahu satu apa pun dan tidak layak untuk bersuara. Saya mesti meletakkan diri saya di dalam kalangan umum supaya saya dikenali ramai, saya bukan hanya pandai berkata-kata saja sebaliknya telah saya lakukan dalam organisasi tempat saya berkerja. Bukan apa, ada orang kata kalau cakap saja tak guna. Walaupun banyak mana ilmu kalau tak ada pengalaman tak guna juga kata mereka. Kata mereka lagi hanya orang yang ada ilmu dan pengalaman saja boleh memimpin orang lain dengan berkesan. Memang betul tu, tapi kalau tiada ilmu tak adalah pengalaman. Kerana dengan ilmu itulah yang memandu pengalaman. Kalau tak lulus cemerlang SPM takkan dapat pengalaman belajar di Universiti. Kalau tak lulus Ijazah takkan dapat jadi ‘boss’ dan berpengalaman bekerja dalam sector yang mencabar.
Jadi, janganlah kita bercakap besar bila kita ada ilmu tinggi dan berpeluang menimba pengalaman lebih dari orang lain. Kita kena hormat juga pada taraf ilmu dan pengalaman orang lain. Setiap orang melakukan apa yang termampu dibuatnya, harus kita ingat semakin tinggi jawatan dan pangkat kita semakin tinggilah bebanan, dan semakin tinggilah kita dipertanggungjawabkan ke atas apa yang kita pimpin. Mungkin ada antara kita terlupa akan kisah alam ini, bahawa apabila terciptanya dunia Allah swt hendak melantik khalifah. Gunung, air, tanah, pokok semuanya tak mau memikul tanggungjawab itu lalu Allah swt pun mencipta manusia untuk dipertanggungjawabkan mentadbir dunia. Kenapa Allah swt melantik manusia? Kerana kita ada panca indera, kaki, mulut, tangan, mata, telinga untuk kita pergunakan. Apa gunanya saya ada mulut kalau tak diguna untuk bercakap, nanti ia akan ditanya semasa di akhirat kelak untuk apa ia digunakan.
Maka, tak perlulah kita terlalu bangga dengan apa yang kita ada dan miliki kerana akhirnya kelak kita tetap akan kembali kepada Nya. Setiap orang dipertanggungjawabkan ke atas apa yang ia telah lakukan, bukannya yang belum ia lakukan. Dan setiap orang akan melakukan apa yang termampu dibuatnya dan akan cuba melakukan yang terbaik jika berkemampuan. Jika kita berniat nak bersaing atau membandingkan diri dengan orang lain maka akan keluarlah kata-kata yang tidak elok diperkatakan terhadap orang yang berpendidikan rendah dan berjawatan rendah seperti saya.
Saya ingin berkongsi sedikit pengalaman saya sebagai seorang yang tak ada ijazah dan bukan pekerja professional. Sungguhpun saya bukan kelulusan dalam sastera ataupun seni namun bakat dan kemahiran semulajadi yang saya asah sendiri dihargai dengan perlantikan menjadi ahli jawatankuasa penerbitan. Di kalangan ahli yang lain semuanya mempunyai jurusan yang baik dengan kelulusan yang lebih tinggi dari saya. Ada juga yang mempunyai kelulusan teknologi maklumat dan multimedia tapi hanya dipendam begitu saja tidak dimanfaatkan kepada umum. Hanya berbuat apabila disuruh dan diperintahkan oleh ketua. Sebaliknya saya pula yang memegang tugas itu kerana saya tak pernah menolak dan menyembunyikan apa yang saya tahu.
Bahkan saya sendiri pernah menyatakan kepada ketua jawatankuasa supaya memanfaatkan juga pengetahuan dan kemahiran ahli lain yang mereka perolehi dan pelajari di university. Melantik mereka yang berkelayakan dan bersesuaian dengan bidang tugas. Alhamdulillah sudah ada perubahan dan kini tugas saya tidak saya pikul seorang sebaliknya saya bekerjasama dengan ahli jawatankuasa yang lain yang memegang peranan yang sama dengan saya. Untuk menjayakan sesuatu usaha kita perlu bekerjasama dan menyampaikan sesuatu yang benar agar kita dihormati dan dipandang mulia. Tidak perlu malu dan rasa rendah diri kerana itu hanya akan menjadikan diri kita seorang yang lemah dan tidak ada semangat perjuangan untuk memperbaiki keadaan diri.
Lantaran itulah, saya melibatkan diri dengan dunia blogger. Bukan sekadar untuk berkongsi-kongsi pengalaman atau cerita kosong atau nak dapat untung wang ringgit melalui blog atau web semata-mata. Saya mahu juga menjadi penulis blog yang berfikiran kritikal, berani menyatakan pendapat dan berkongsi pengalaman yang ada. Bangsa yang maju ialah bangsa yang sedia berdialog secara terbuka, kerana dengan dialog inilah pelbagai idea diperolehi dan sebarang kelemahan dari yang baik dapat dikesan kemudian diperbaiki. Memang kadang-kadang terdapat kritikan dan rasa tidak puas hati tapi sekiranya ia dibincangkan, diulas dan dibicarakan lanjut maka sedikit-demi sedikit jalan penyelesaian dapat ditemui untuk diusahakan lebih lanjut melalui kerjasama semua pihak.
Namun begitu, dalam menyampaikan kritikan perlulah terkawal. Jangan sampai emosional, kutuk mengutuk, hina menghina, cabar mencabar dan membangkitkan amarah orang lain. Mungkin disebabkan masyarakat kita ini cukup sensitive dan cepat marah maka isu-isu sensitive yang menyentuh hak dan kepentingan masing-masing tidak boleh disuarakan secara langsung dan terbuka. Masalahnya, sepatutnya semakin tinggi ilmu seseorang semakin terbukalah pemikirannya dan tahu membuat penilaian. Juga tahu bagaimana hendak menggunakan pendekatan yang terbaik bila berhadapan dengan karenah orang lain yang terlalu mengikut emosi dan perasaan.
Sebaliknya apa yang berlaku ialah, pemikiran mereka terus sempit dan semakin sempit. Mengambil langkah yang undur ke belakang dan terus dengan pemikiran yang konservatif zaman penjajah dan darurat. Menghadapi orang yang tak sependapat dengan mereka dengan cara yang tidak professional, suka bertikam lidah caci mencaci dan memburukkan sesiapa yang mengancam kedudukan mereka. Berdialog dalam keadaan yang emosional, bila terkasar bahasa sikit terus marah dan cuba untuk berlawan. Janganlah kita jadi sebahagian dari mereka.
Selasa, 5 Februari 2008
Yakin pada diri
Labels:
Motivasi dan Tauladan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan