Custom Search

Reviews Directory

Isnin, 11 Februari 2008

Ikon Korporat Muslim

Penganugerahan tokoh Maal Hijrah 1429 kepada ikon korporat Muslim, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary telah dibuat pada majlis sambutan Maal Hijrah yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putratrajaya (PICC). Anugerah itu telah disampaikan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agung Al Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al Marhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah, disaksikan oleh 3,000 orang termasuk Pendana Menteri dan isteri, menteri-menteri kanan kabinet dan para pembesar luar negeri.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato’ Haji Wan Mohamad bin Dato’ Syeikh Abdul Aziz yang juga ahli Jawatankuasa Kecil Pemilihan tokoh Maal Hijrah 1429H, anugerah ini diberi kepada warga Malaysia yang banyak berjasa membantu kemajuan ummah dan membuktikan dirinya sebagai teladan bagi umat Islam. Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary telah memperlihatkan ciri-ciri yang luar biasa dan menjadi teladan yang baik bukan sahaja untuk dicontohi oleh umat Islam tetapi juga warga Malaysia,” jelas beliau.

Anugerah Tokoh Maal Hijrah telah diperkenalkan pada tahun 1987 dan para penerima terdahulu termasuk Allahyarham Profesor Tan Sri Ahmad Mohamed Ibrahim, seorang cendekiawan undang-undang Islam, Allahyarham Raja Tun Mohar Raja Badiozaman, pejuang urustadbir piawaian paling tinggi, Datuk Dr Halim Ismail, pengarah urusan pertama Bank Islam dan Profesor Di Raja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, Naib Canselor Pertama Universi Malaya.

YAYASAN AL-BUKHARY
Yayasan Albukhary menjadi saluran untuk Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary menyampaikan sumbangan kebajikannya. Di tubuhkan pada tahun 1996, ia telah melangkah setapak demi setapak dan mendapat pengiktirafan sebagai sebuah yayasan kebajikan Islam antarabangsa. Dengan berpegang kepada ajaran Islam, ia memheri tumpuan kepada lima bidang utama: agama, kebajikan sosial, pendidikan, kebudayaan dan inisiatif antarabangsa.

Agama
Sumbangan paling awal yayasan disalurkan kepada pembinaan dan pengubahsuaian masjid yang sangat diperlukan apabila bilangan umat Islam bertambah ramai dan pembangunan perbandaran menjadi semakin pesat. Setakat ini, ía telah membina lebih 20 masjid di kawasan luar bandar dan bandar di merata Malaysia. Sumbangan terbesarnya ialah kepada projek membaik pulih Masjid Negara berusia 40 tahun di ibu kota Kuala Lumpur, yang digunakan sebagai tempat untuk majlis rasmi negara, pengebumian pemimpin negara, tempat untuk bersolat dan menjadi daya tarikan pelancong. Yayasan Al-Bukhary turut membiayai umat Islam miskin untuk menunaikan fardu haji di Makkah.

Kebajikan Sosial
Syed Mokhtar sentiasa memperjuangkan kesaksamaan sosial, menjadikan pembasmian kemiskinan sebagai satu keutamaan. Yayasan al-Bukhary bekerjasama dengan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan untuk menaiktarafkan hidup golongan miskin tegar, dengan memberikan bantuan yang diperlukan. Ia juga melaksanakan beberapa inisiatifnya sendiri untuk membantu fakir miskin, kebanyakannya ditumpukan kepada Kompleks Al-Bukhary di Kedah - yang mempunyai rumah anak yatim, hospital dan pusat dialysis untuk fakir miskin tegar. Semua kemudahan dan perkhidmatan di sini diberikan secara percuma kepada fakir miskin bagi membolehkan mereka hidup dengan selesa.

Pendidikan
Bagi Syed Mokhtar, setiap insan berhak mendapat pendidikan. Justeru beliau menghulurkan tangan kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik menerusi Yayasan Al-Bukhary memberi mereka harapan untuk membina masa depan yang lebih baik. Menerusi Program Tuisyen al-Bukhary murid miskin luar bandar diberi tuisyen percuma bagi membolehkan mereka lulus di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pelajar cemerlang dari seluruh dunia pula dibantu menerusi pemberian Biasiswa al-Bukhary. Kini seramai kira-kira 300 pemegang Biasiswa Al-Bukhary dari lebih 40 negara Islam sedang belajar di Malaysia. Bakal pemegang Biasiswa Al-Bukhary akan dapat melanjutkan pengajian tinggi di Universiti Al-Bukhary yang sedang dibina di Kompleks Al-Bukhary di Alor Setar.

Universiti bertaraf antarabangsa ini akan menawarkan kursus pengajian perakaunan, teknologi informasi dan komunikasi (ICT) dan sains gunaan supaya para pelajar Al-Bukhary boleh pulang ke tanah air dan membantu negara masing-masing. Dengan demikian ia membantu membina dunia Islam yang lebih kuat dan lebih progresif. Yayasan juga telah memberi bantuan kewangan kepada projek membina universiti seperti UTAR dan Universiti Wawasan untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat pendidikan serantau. Yayasan Al-Bukhary turut menaja beberapa fellowship di universiti seperti Oxford Centre of Islamic Studies, untuk meningkatkan kecemerlangan di kalangan umat Islam dan dunia Barat, lebih-lebih lagi selepas serangan 11 September.

Kebudayaan
Hadiah gemilang Yayasan al-Bukhary kepada dunia ialah Muzium Kesenian Islam Malaysia. Kesenian adalah duta bagi mana-mana budaya dan Muzium Kesenian Islam Malaysia memaparkan warisan budaya dan kesenian Islam kepada umat Islam dan bukan Islam. Muzium ini menyimpan lebih 7000 artifak yang melambangkan kekayaan dunia Islam terutama dari China dan Asia Tenggara. Sejak dibuka pada 1998, muzium ini turut menganjurkan pameran, syarahan, seminar dan aktiviti kanak-kanak untuk membantu menyemaikan kefahaman dan penghargaan terhadap dunia Islam di kalangan masyarakat.

Aktiviti ini juga menggalakkan dialog dan syarahan di kalangan cendekiawan sebagai sebahagian daripada program memperkaya budaya. Kebanyakan pameran ini dianjurkan dengan kerjasama muzium terkenal di Eropah, Timur Tengah dan Asia. Ia mengharumkan nama Malaysia di persada intelektual dan budaya dunia. Muzium ini telah menerima anugerah daripada Pusat Penyelidikan Kebudayaan dan Kesenian Islam OIC kerana memelihara Warisan Budaya Islam dan menggalakkan kecemerlangan di kalangan cendekiawan.

Inisiatif Antarabangsa
Sumbangan Yayasan Al-Bukhary terus bercambah, seiring dengan perkembangan empayar perniagaan Syed Mokhtar ke luar negara. Kini Yayasan Al-Bukhary diiktiraf sebagai pertubuhan kebajikan Islam yang memberi sinar harapan kepada umat Islam yang miskin, sakit dan terpinggir dalam dunia Islam - di khemah pelarian Afghan, pusat bantuan bencana alam di Iran dan Pakistan, penempatan semula pelarian di Bosnia dan program membantu kanak-kanak jalanan di Afrika Selatan.

Ia telah membina dan menguruskan rumah anak-anak yatim untuk mangsa tsunami di Acheh, hospital untuk pesakit Aids di Uganda, masjid di India, Indonesia dan Afrika Selatan, sumbangan kewangan untuk Program Bantuan Kemanusiaan di Lubnan, Sekolah Sains dan Teknologi di Sarajevo dan membiayai pengajian Islam di Universiti United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Melestarikan Amal Untuk Muslimin
Selepas 10 tahun menjalankan pelbagai aktiviti amal dan kebajikan, pada 2007 Yayasan Al-Bukhary berpindah ke bangunannya sendiri di Kuala Lumpur. Dari situ ia menyelia perkembangan dunia kedermawanan - dunia yang berkembang lebih pesat daripada entiti perniagaan Syed Mokhtar sendiri.

Bangunan itu melambangkan ketetapan dan komitmen jangka panjang Yayasan Al-Bukhary untuk membantu membina masa depan yang lebih cerah di kalangan mereka yang terbabit. Ia adalah hajat Tan Sri Syed Mokhtar untuk membantu membuka peluang kepada orang lain, supaya mereka juga boleh melakukan perkara yang serupa di kemudian hari.

Latarbelakang Syed Mokhtar Al-Bukhary
Pesanan Syed Mokhtar Al-Bukhary

Tiada ulasan: