Ada orang…..lihat kulit,
Ada orang…..lihat isinya,
Isi dan kulit…..memberi erti,
Bagi yang tahu…..menilainyaaaa….
Isi dan kulit.
Itulah antara senikata lagu Amy Search yang pernah menjadi siulan saya ketika masih kanak-kanak dulu. Dulu senikata lagu banyak yang berisi dan berkualiti, iramanya pun memang menarik sekali untuk didengar oleh sesiapa saja sehingga kini. Malangnya senikata dan irama lagu sekarang tidak banyak yang menarik, hampass yang banyak. Artis pun banyak-banyak tak guna kalau banyak yang merosakkan akhlak dan jiwa anak muda remaja. Sebagai contoh, yang terkini heboh diperkatakan terdapat seorang artis wanita baru berusia 21 tahun yang berlakon dalam ‘Anak Pontianak’telah merealitikan sifat anak pontianaknya di persada ‘maksiat’ negara. Artis-artis baru ini juga telah dipergunakan oleh pihak tertentu untuk sesuatu majlis bagi menarik kedatangan rakyat supaya berpusu-pusu ke majlis yang dianjurkan mereka, kemudian melaporkan dalam media betapa ramainya sokongan rakyat terhadap mereka. Kalau tak ada artis memang tak laku, tak ramai yang akan datang. Yang datang pula ramai belia dan remaja yang telah dihanyutkan pemikiran dengan hiburan yang melampau supaya mereka tak terlalu memikirkan soal-soal yang serius yang boleh mengancam arena yang diceburi mereka.
Sekarang ramai juga yang jiwang macam dulu-dulu, tapi jiwang sekarang tak ada kesenian langsung, terus ‘straight to the point’, dah tak malu-malu lagi kalau nak buat terus rakam dalam video henpon kemudian kirim kat Youtube, tak ada bunga-bunga kata dan kiasan lagi atau tak ada intronya. Sedangkan kita bangsa Malaysia bangsa Melayu kaya dengan adab dan budi bahasa melalui pepatah pujangga, pantun, syair dan sajak. Sekarang ini kalau nak kutuk orang lain terus terang dengan kata-kata yang memaki hamun, tak ada tapisan-tapisan lagi dah, tak ada pakai ayat-ayat yang berkod lagi dah dan tak perlu pakai ‘password’ nak buka bicara. Semuanya akan terus mengutuk dan ditujukan terus kepada mereka yang berkenaan, siap dengan namanya sekali, kalau ada gambar terus ditunjuk juga supaya semua orang tahu betapa buruk dan kejinya sikap orang berkenaan tak kira sama ada benar atau tidak. Kalau tak benar fitnahlah namanya dan pembawa fitnah itu akan menanggung dosanya, kalau benar orang itu perlulah kembali ke pangkal jalan dan tak perlu lagi ‘menegakkan benang yang basah’. Orang itu perlulah melakukan sesuatu untuk menebus segala dosanya terhadap mereka yang dia perdayakan dengan ‘kelentong’ dan ‘temberangnya’ selama ini.
Ada orang yang luarannya nampak elok, baik dan kemas. Kalau yang wanita nampak bertudung sopan dan berbaju kurung, dan yang lelakinya pulak dengan rambut yang disikat rapi dan fesyen kasual yang biasa saja. Saya bukan cakap tentang orang artis saja tapi semua, sesiapa saja tak kira pemimpin, orang biasa, orang koprat. Nampak baik sangat sehingga orang yakin yang orang tersebut orang yang baik-baik, sangat baik sekali dijadikan menantu, ‘boyfren’ maupun ‘girlfren’ yang akan menjamin masa depan yang sempurna. ‘Ku sangka panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengahari’, ingatkan betul-betul baik punya tapi ia cuma hiasan luaran saja. Di dalam dirinya penuh dengan sifat-sifat buruk yang tidak elok bila dimanifestasikan ke alam nyata.
Bila kita menilai sesuatu janganlah kita ‘jatuh cinta pandang pertama’, kita masih ada masa lagi untuk menilai sejauh mana kebaikan luaran itu menunjukkan kebaikan dalaman. Jangan kita korbankan 'mahkota' yang mahal sebarangan dengan harga yang murah di tepi jalanan. Kata orang sifat luaran itu menunjukkan sifat dalaman seseorang, saya setuju dengan pandangan itu kerana sebagai seorang muslim sejati seharusnya tidak ada sifat berpura-pura. Tidak selamanya kebaikan yang berpura-pura akan bertahan lama dan lambat laun akan terbongkar jua. Sekiranya seseorang yang sebelum ini seringkali bersikap buruk dan dengan hidayah mendapat petunjuk Allah, dia kena buktikan secara bersungguh-sungguh akan sifatnya yang ingin kembali ke pangkal jalan. Ada orang kata tak mengapa tak pakai tudung tak pakai kopiah asalkan hati baik, buat amalan yang baik. Tetapi sebagai tauladan terutama sekiranya mereka itu dari kalangan orang yang berpengaruh dan mengaku popular di kalangan masyarakat, mereka perlu menunjukkan contoh yang baik untuk diikuti oleh masyarakat. Tak perlu banyak berdolak dalih, kalau orang biasa mungkin masih boleh dilonggarkan kerana tak ada sesiapa sangat pun nak contohi kita. Tapi perlu juga tunjukkan tauladan yang baik kepada anak-anak dan isteri kita di rumah.
Dalam aspek pembangunan pula, sudah terlalu banyak projek-projek telah dibangunkan dan usaha ini memang sangat dihargai kerana ia memberi kemudahan kepada rakyat seluruhnya. Tapi kalau pembangunan itu hanya bersifat luaran saja dan tidak mengutamakan pembangunan dalamannya lambat laun ia akan merosakkan akhlak dan pemikiran rakyat. Apa gunanya membina banyak masjid yang cantik-cantik indah dipandang mata supaya orang tertarik untuk datang masuk ke dalamnya, tapi pengisiannya kosong. Hanya tempat untuk bersolat 5 waktu saja dan digunakan oleh musafir-musafir lalu mengerjakan ibadat sunnat. Di zaman Rasulullah peranan masjid sangat luas sebagai pusat pembangunan ilmu dan masyarakat menerusi pelbagai aktiviti seperti pusat pengajian al-Quran, mengajar anak-anak fardhu ain dan mempraktikkan mereka dengan bersolat jemaah dan mengumandangkan azan. Banyak lagi yang boleh dilakukan di masjid aktiviti-aktiviti kemasyarakatan seperti majlis akikah, majlis korban dan sebagainya yang perlu diaktifkan oleh jawatankuasa masjid.
Begitu juga dengan projek-projek jalan raya, koridor raya multimedia, koridor ekonomi utara, selatan, timur dan barat. Berapa banyak pun pembangunan projek-projek fizikal ini dilaksanakan tetapi aspek fizikal rakyat semakin merosot, kita khuatir sekiranya pembangunan itu hanya menguntungkan pihak tertentu sahaja. Sedangkan rakyat terus menghadapi masalah kemiskinan, masalah rumah terbengkalai, masalah banjir, masalah anak hilang, masalah kena tipu skim cepat kaya, masalah maksiat di khalayak ramai serta di dalam video dan macam-macam lagi masalah yang melibatkan kemerosotan akhlak yang mengancam kestabilan social masyarakat. Kita bimbang sekiranya pisang berbuah 2 kali bilamana apabila DEB tidak mencapai sasarannya, yang dipersalahkan adalah rakyat kerana tidak mahu merebut peluang yang disediakan. Kalau diberi peluang, di ‘ali baba’ kan pada bangsa lain. Kita tidak mahu pada suatu masa kelak pemimpin akan kata rakyat terus merempat dan bermasalah kerana tidak mahu merebut peluang yang telah disediakan. Sedangkan keuntungan berlipat kali ganda mereka dan kroni-kroni mereka perolehi hasil dari ‘kebijaksanaan’ dan ‘kepandaian’ mereka merebut peluang.
Kita tidak mahu hanya nampak gah dan hebat pada luaran sahaja, lagi pun yang membinanya bukanlah orang kita pun tapi pekerja Indonesia dan Bangladesh. Bila kemajuan dan pembangunan diusahakan yang meraihnya adalah bangsa lain, dengan kekuatan yang ada mereka memanfaatkannya dengan sebaik-baiknya. Sedangkan kebanyakan rakyat kita dari kalangan bumiputera masih lagi memerlukan sokongan dan bantuan untuk melangkah maju ke hadapan. Namun sekiranya, kita dirosakkan oleh anasir-anasir dadah, rokok, pil khayal, arak, hiburan dan konsert melampau, bagaimana kita boleh maju dan bergerak ke hadapan. Kadang-kadang juga saya terfikir macam ada satu konspirasi terancang untuk ‘menjahanamkan’ anak muda bangsa kita supaya mereka tidak boleh maju dan jadi pandai semuanya. Kalau banyak yang berpotensi untuk maju dan boleh jadi pandai takut nanti akan menggugat kedudukan atau ‘periuk nasi’ mereka.
Jadi, kalau kita mahu menghasilkan isi buah yang baik dan manis, aspek yang penting sekali adalah penjagaan pokoknya sejak dari keci lagi. Kita beri baja, siram hari-hari, cabut rumput dan rumpai sekelilingnya yang boleh merencatkan pertumbuhan, bunuh makhluk perosak. Maka hasilnya kelak adalah buah yang baik dan manis. Dari luar kita boleh lihat pokoknya yang subur, bila dimakan isi buahnya baik sekali. Maka, bila buah-buahan itu ditanam secara besar-besaran perlu ada gudang untuk membungkusnya kemudian dieksport sebagai buah segar. Perlu ada juga kilang untuk memproses supaya dapat ditinkan dan diawet agar tahan lama selamat dimakan dieksport ke luar negara. Dari hasil buah-buahan yang baik dan bermutu inilah kilang-kilang yang dibina itu mendapat manfaatnya dan keuntungan diperoleh berlipat kali ganda. Kalau pokok buah-buahan itu rosak tidak bermutu tentu kilang itu akan rugi tidak dapat beroperasi dengan baik.
Begitulah juga jika kita mahu menghasilkan bangsa yang maju, kita kena jaga dan suburkan anak-anak kita dengan pelajaran dan pendidikan yang baik di rumah ataupun sekolah. Kalau ada anasir-anasir jahat kita hapuskan, sekat dan halang ia daripada berleluasa dan merosak pemikiran anak-anak kita. Jangan ada kompromi, jangan sampai di ‘rasuah’, kalau bayar lessen dan cukai boleh lepas walaupun benda itu dah nampak jelas merosakkan anak-anak yang kita semai di rumah. Bila hasil-hasil ini membesar dengan baik maka segala projek pembangunan pasti akan dimanfaatkan mereka dengan sebaik-baiknya dan menghasilkan keuntungan kepada negara bila ramai yang jadi jurutera, doctor, ahli perniagaan dan sebagainya yang akan membangunkan negara.
Sekarang pun ada juga doctor, jurutera, peguam, ahli perniagaan, ahli politik, tapi semuanya bila bina rumah cepat retak dan runtuh, sesiapa nak berubat kena bayar beratus-ratus sekali pemeriksaan, kes perbicaraan pula boleh diatur-atur dalam telefon, dalam perniagaan hanya konco dan kroni saja boleh dapat habuan, dalam politik wang jadi taruhan. Ini semua sebab isi buah itu buruk, berulat dan ada bahan toksik yang merosakkan. Jadi, fikir-fikirkanlah... walaupun kita sudah melakukan yang terbaik namun ada pihak yang merosakkannya. Kita kena jaga betul-betul apa yang ada dibawah tanggungjawab kita supaya tak terkena 'penyakit' yang sengaja disebarkan untuk merosakkan seluruh ahli keluarga kita.
Isnin, 4 Februari 2008
Isi dan kulit
Labels:
Politik dan Pemerintahan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan