Custom Search

Reviews Directory

Isnin, 25 Februari 2008

Megacreativity

Dalam kehidupan reality kita jangan terlalu fanatic dengan mempertahankan sikap konservatif enggan membuat perubahan walaupun sedikit. Seharusnya kita mesti berani melakukan sesuatu yang bukan kebiasaan supaya kita boleh nampak jalan yang kita tidak nampak di hadapan. Malang bagi kita selama ini bilamana fikiran kita dikelirukan dengan pelbagai kata-kata ugutan dan ancaman supaya kita terus berada ditakuk lama dan terus menyokong apa yang orang lain lakukan terhadap kita. Berikut adalah pengalaman seorang rakyat Rusia menerusi bukunya tentang perbezaan suasana sekeliling yang membentuk kreativiti seseorang manusia.

Anda ingin menjadi insan kreatif? Bolehkah semua orang menjadi kreatif? Kalau boleh, apakah caranya? Buku Megacreativity: 5 Steps to Thinking Like Genius dapat memberi cara-cara yang berkesan untuk menjadi kreatif dan mencapai genius. Cara-cara ini boleh diamalkan oleh sesiapa sahaja dan pada bila-bila masa yang terluang. Begitulah kesan kepada penulis apabila menganalisis buku ini.

Buku ini ditulis oleh Andrei Aleinikov mantan kolonel Rusia selama 10 tahun, berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) dan akhirnya menjadi rakyat AS pada Mei 2002. Pengalamannya sebagai rakyat Rusia seolah-olah memperlihatkan bahawa orang tidak boleh menjadi kreatif sewaktu tinggal di Rusia sebaliknya dapat menyuburkan kreativiti semasa tinggal di Amerika Syarikat.

Begitulah Aleinikov mengemukakan lima langkah untuk kita berfikir sebagai seorang genius. Pada langkah pertama dengan judul Quit Quitting, Aleinikov menjelaskan bahawa untuk seseorang mencapai tahap genius yang tertentu, mereka harus bertindak melatih diri menjadi kreatif.

Cara pertama dalam langkah ini tidak lain tidak bukan ialah “membuka minda”. Jika minda tertutup, tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan kerana orang boleh terus menerus menjadi jumud. Untuk membuka minda, mereka harus mendedahkan dirinya kepada masalah. Dia akan menjadi kreatif dan genius jika terus melatih diri menyelesaikan masalah yang timbul pada setiap masalah. Untuk mematangkan diri dengan penyelesaian masalah, penulis memberi bimbingan terhadap penyelesaian secara tahap demi tahap. Hanya dengan membiasakan diri menyelesaikan masalah secara ini, minda kita akan terbuka dan berani berdepan dengan berbagai-bagai masalah kehidupan harian. Minda kita pula menjadi semakin kreatif dan terbuka.

Cara selanjutnya dalam langkah ini adalah untuk memahami bentuk genius. Untuk tujuan ini penulis berusaha membongkar konsep genius yang lama ini mengelirukan orang. Kekeliruan ini dijelaskan untuk mendapatkan konsep genius yang sebenarnya. Penulis cuba mencabar beberapa mitos tentang genius yang mengelirukan.

Antaranya, genius itu dilahirkan. Sebenarnya tidak. Genius bukan dilahirkan tetapi diciptakan. Genius juga bukan kerana keturunan tetapi kerana penyuburan diri seseorang melalui pendidikan awal dan pengaruh sosial yang kuat ditambahkan dengan ketrampilan yang dipelajari. Tanpa hal-hal ini orang tidak akan menjadi genius.

Mitos kedua yang mengatakan genius dapat dikenal pasti dalam diri anak-anak. Ini dicetuskan daripada idea tahap kecerdasan yang dipanggil prodigy dan rumusan yang cukup mengelirukan. Idea yang menyatakan bahawa jika kanak-kanak itu tidak dikenal pasti sebagai genius sejak dari kanak-kanak, ertinya kanak-kanak itu tidak genius.

Sebenarnya prodigy yang dikenal pasti pada zaman kanak-kanak. Seseorang yang mencapai tahap kecerdasan luar biasa yakni prodigy memperlihatkan kebolehan tahap dewasa pada zaman kanak-kanaknya. Genius pula berbeza. Misalnya Albert Einstein tidak boleh bercakap sehingga berumur tiga tahun bahkan mengalami kecacatan dalam percakapan semasa bersekolah. Pablo Picasso pula hanya dapat belajar dengan baik apabila bapanya duduk berdekatan dengannya semasa belajar. Thomas Edison pula memperoleh markah C dalam mata pelajaran Fizik. Robert Frost menerbitkan buku pertamanya pada umur 38 tahun. Peter Roger mencipta tesaurusnya yang masyhur selepas bersara, iaitu sewaktu berumur 70 tahun.

Mengambil kira hal-hal itu, dapatlah dikatakan bahawa genius boleh sahaja dicapai sewaktu seorang mencapai umur dewasa atau meningkat tua. Begitulah penulis mencadangkan bahawa pernyataan ”genius dapat dikenal pasti pada zaman kanak-kanak” ditukar kepada “eloklah dikenal pasti genius dalam diri setiap kanak-kanak dan orang yang dewasa”.

Untuk tujuan itu, Aleinikov mencadangkan agar setiap orang mengungkapkan genius “dalam diri kanak kanaknya”. Maksudnya biar pun seseorang sudah mencapai usia dewasa, yang matang atau meningkat tua, seseorang masih memiliki tabiat seperti anak-anak. Contohnya mereka suka berangan-angan, suka berlucu, berfikir gila-gila dan kadang kadang kelihatan memikirkan idea yang pandir. Adakalanya orang bermimpi untuk melaksanakan idea-idea yang pandir tetapi praktikal dalam hidupnya.

Andrei Aleinikov mencadangkan kita merakamkan beberapa idea pandir ini agar dapat dilaksanakan. Mana tahu jika idea yang bodoh ini boleh dilaksanakan dan menjadi kenyataan. Selanjutnya ada sesuatu pertanyaan yang harus difikirkan jika kita mahu menjadi lebih kreatif dan mencapai tahap genius. Adakah kita sanggup mengatakan “ya” kepada sesuatu kemungkinan atau kemustahilan? Pada beliau, kita harus positif dan mengatakan “ya” yakni bersetuju kepada sesuatu kemungkinan atau kemustahilan yang kita depani.

Manfaat kita melihat kemungkinan atau kemustahilan sebagai sesuatu yang positif ialah kita dapat melihat sesuatu dengan berbagai-bagai pandangan idea dan nazrah. Dengan cara ini, kita dapat melihat sesuatu masalah, fenomena atau peluang dengan cara yang baru dan segar. Dengan kata-kata lain, tidak akan kita lihat sesuatu masalah, fenomena atau peluang dalam dua konsep: tolak atau campur sahaja, bahkan kita melihat sesuatu yang lain, yang mungkin lebih menarik dan banyak kemungkinannya. Sebab itu pada beliau untuk meningkatkan kreativiti, kita harus selalu belajar mengelak akan kata-kata, “tidak” atau “tidak boleh”. Sebaliknya harus kita mengamalkan kata-kata “mengapa tidak”. Misalnya “mengapa tidak masalah itu diselesaikan dengan cara yang lain daripada yang lain”.

Di sini nampaknya penulis cuba mencabar agar dapat menukar cara kita berfikir satu haluan kepada pelbagai haluan kerana berfikir pelbagai haluan memungkinkan kita memperoleh idea yang baru dan lebih segar. Begitu juga dengan cara penyelesaian masalah yang lebih kreatif, segera dan terbuka berbekalkan cara berfikir pelbagai haluan.

Langkah selanjutnya iaitu langkah ketiga, keempat dan kelima memperlihatkan antara tujuan menjadi kreatif dan genius, iaitu “Go to a Million”, “Megavalue People” dan “Launch to Genius Orbit”. Perlu dijelaskan bahawa “Go to a Million” pada beliau tidak semestinya untuk menjadi kaya sahaja, tetapi menjadikan otak kita lebih bernilai jauh lebih penting.

Untuk tujuan ini, orang yang kreatif harus melakukan pembaharuan atau inovasi. Hubungan kreativiti dengan inovasi memang cukup erat kerana orang harus terlebih dahulu dapat berfikir secara kreatif dan terbuka sebelum melakukan sebarang inovasi.

Setelah melakukan inovasi sekali gus berjaya menjadi orang kreatif, kita harus melakukan lompatan untuk menguasai konsep kreativiti yang lebih besar yang beliau namakan Megacreativity. Maksud Megacreativity ialah penciptaan idea yang lebih pantas dan besar, berbanding dengan penciptaan idea sebelumnya yang agak lambat dan kecil.

Untuk memastikan kita memperoleh idea yang digolongkan dalam Megacreativity, ada hal-hal penting yang harus diperhatikan. Contohnya pemahaman yang jelas tentang penyuburan kreativiti dalam diri kanak-kanak. Kehidupan biasa dalam hidup kanak-kanak bukanlah kreativiti. Sebaliknya usaha menyuburkan hidup yang kreatif dalam jiwa kanak-kanak itulah suatu kreativiti.

Demikian juga bahawa kecantikan atau ketampanan semula jadi yang dimiliki oleh seseorang bukanlah kreativiti. Sebaliknya tugas seni seseorang jurucantik adalah kreativiti kerana ia mempercepat proses alamiah untuk mencantikkan wajah dan melambatkan proses alamiah ketuaan.

Selanjutnya proses pengajaran biasa bukanlah kreativiti sebaliknya usaha pencepatan pengajaran melalui reka bentuk pengajaran yang lebih kreatiI itulah kreativiti. Ertinya usaha pencepatan penyerapan idea kreatif dalam pelbagai bidang kehidupan tentunya akan mencapai tahap Megacreativity jika diusahakan secara bersungguh-sungguh.

Begitulah langkah terakhir iaitu “Launch to the Genius Orbit” merupakan puncak penerapan idea yang kreatif dan Megacreativity dalam hampir semua bidang kehidupan. Aleinikov mencadangkan agar orang yang kreatif menguasai kaedah menjadi genius yang dicadangkan lebih awal. Diperlukan juga gerakan yang terancang untuk menerapkan keterampilan kreatif dan inovatif sebagai seorang genius yang kita miliki. Akan tetapi pesanan beliau yang cukup berguna kepada kita ialah memanfaatkan idea kreatif yang kita miliki dan mencuba memanfaatkannya dengan kadar yang segera.

Kesimpulannya, kita bukannya bodoh sangat tapi telah diperbodohkan, kita bukannya lembab dan lemah akal untuk berfikir kreatif tetapi telah dilemahkan untuk berfikir secara bebas dan terbuka dengan pelbagai ugutan dan ancaman pihak yang berkuasa dan kuat demi menjaga survival mereka supaya tidak dicabar oleh mereka yang mempunyai kesedaran dan berpotensi dalam kebijaksanaan berfikir jika ruang dan peluang dibuka dengan seluas-luasnya untuk mereka.

Tiada ulasan: