Custom Search

Reviews Directory

Rabu, 20 Februari 2008

"Smart"

Selalu mendengar, “Learn smart, work smart, earn smart?” Selalu juga mendengar ungkapan, “Don’t work hard, but work smart?”

Nampaknya perkataan “smart” begitu berkeramat sekali. Ia mudah disebut tetapi payah juga untuk dibuktikan. Mengapa? Sebab ia adalah gabungan mental, fizikal dan spiritual. Tanpa salah satu seseorang itu tidak akan menjadi “smart’ tidak boleh dikatakan “smart” bahkan dia mungkin melakukan perkara-perkara yang boleh ditafsirkan sebagai tak berakal.

Mental seseorang yang “smart” sentiasa “brilliant” dan “evergreen” untuk mengeluarkan idea-idea baru lagi bernas, sesuai dengan peredaran zaman atau perkembangan yang mengambil tempat. Fizikalnya sihat, terpancar melalui pergerakannya yang tangkas dan spiritualnya utuh, tergambar melalui pengamalan-pengamalan agamanya.

Realitinya, dalam kehidupan hari ini apabila perkataan “smart” disebut, ramai orang membayangkan seseorang yang bertali leher, pen jenama popularnya di poket, mungkin memakai kot. Pendek kata kemas. Jika wanita pula orang itu memakai blazer sedondon. Dia mungkin mengenakan kacamata hitam berbingkai emas. Kenderaan yang dipandunya jenis import.

Tidak dinafikan, itulah ciri-ciri yang merangsang “smart” tapi “smart” jauh lebih mencabar dari itu. “Smart” sebenarnya bermula di kepala. Apa yang menghiasi tubuh adalah “booste” untuk membantu apa yang ada di dalam kepala menjadi “smart” dan bertindak “smart”.

Peliknya otak manusia ini, kadang-kadang walaupun tidak berapa banyak ilmu tersimpan di situ, tetapi disebabkan adanya rangsangan rangsangan luaran yang disebutkan itu tadi, ia boleh bertindak seiring dengan apa yang dihadapi. Misalnya, seorang jurujual yang hanya tahu mempengaruhi pelanggan biasa, suatu hari dia berdepan dengan pelanggan “smart” yang pakar dalam satu-satu bidang. Disebabkan oleh tampil dirinya hampir menyamai pelanggan itu, mungkin sama-sama bertali leher dan berkot serta berkacamata tebal, dia mampu menyampuk apa-apa juga yang diperkatakan oleh pelanggan itu, walaupun sebelumnya dia tidak begitu berpengetahuan.

Begitulah “smart” nya orang yang merasakan dirinya “smart” lalu bertindak dengan “smart” . Tidak semena-mena mindanya mengeluarkan idea-idea “smart’: jurujual yang “smart” seperti ini akan sentiasa dapat mempengaruhi pelanggannya. Bukanlah dia bijak tetapi semata-mata kerana dia “smart’.

Jika begitu peranan berlaku “smart”, nampaknya kita terpaksa mengusahakan agar sikap ini terbentuk dan tertanam terus dalam diri kita. Maklumlah dalam menjalani hidup yang serba canggih hari ini kita memang perlu sentiasa “smart” supaya orang yang lebih “smart” tidak memperdayakan kita.

Saya mengakronimkan ejaan SMART sebagai ”Saya Menguasai A Rata Tinggi” atau dalam bahasa Inggeris, “I win A Flat” atau dalam bahasa Sarawak “Kamek Menang Semua”. Dengan meletakkan slogan ini tatkala “bersmart-smart” dengan sendirinya merangsang otak untuk turut “smart” selari dengan tampil diri yang mahu ditunjukkan. “Saya mahu menguasai A rata tinggi” bermakna satu dorongan untuk melakukan yang terbaik.

Secara khusus bagaimanakah ciri-ciri “smart” ini boleh direalitikan? Mengikut kaedah “extra mind” saya menggariskan tiga cara:

1. Konsisten
Orang smart berterusan dalam memotivasi diri. Dia seorang yang tekun dalam kerjanya dan sentiasa cuba menguasai bidangnya serta mengikut perkembangan persekitaran dengan penuh kesedaran untuk memperbaiki diri. Sebenarnya, mengikut kajian psikologi, dengan menyibukkan diri setiap hari, ia akan mengurangkan tekanan atau “stress” . Orang yang tidak melakukan apa-apa atau malas sebenarnya lebih mudah mendapat tekanan berbanding orang yang sentiasa aktif menjalani hidupnya.

2. Ghairah
Ghairah dalam aspek ini adalah lonjakan yang dibentuk setiap awal pagi sebaik sahaja terjaga dari tidur. Rasa ghairah untuk hidup dan melakukan yang terbaik akan mendorong kecemerlangan dan rasa sihat sepanjang hari. Orang “smart” sentiasa merasakan hidup adalah jalan untuk meraih kejayaan meskipun seribu halangan terpaksa ditempuh. Ghairah dengan hidup adalah punca segala kejayaan. Rasa ini lahir dari jiwa yang suci. Ia berkait rapat dengan matlamat hidup seseorang itu.

3. Gapai
Apa juga yang diingini tidak akan diperolehi jika tangan tidak dihulur untuk mengambilnya. Tanpa inisiatif untuk merealitikan segala impian, semua yang diidam-idamkan itu akan hanya wujud dalam imaginasi dan ilusi sahaja. “Bulat tidak akan datang bergolek dan pipih tidak akan datang melayang” tanpa usaha yang gigih. Individu yang “smart” sentiasa cuba menggapai apa yang diingininya. Dia tidak hanya bertahan pada angan-angan.

Orang “smart” berani mengambil risiko walaupun dia tahu risiko selalunya diterjemahkan kepada kerugian dan kesakitan. Dia seorang yang berani untuk gagal dengan menganggap kalau dia tidak gagal jawapannya pasti sebaliknya - berjaya. Dia hanya akan berada dalam dua situasi gagal atau berjaya. Dengan segala usaha yang dicurahkan dia lebih yakin akan berjaya namun berani untuk gagal sebab kegagalan adalah tiket kedewasaan dan bertambahnya pengalaman.

Sesungguhnya seseorang yang takut pada risiko bukan sahaja membantutkan segala kreativiti yang ada pada diri mereka malah ianya merupakan penghalang ke arah proses anjakan paradigma ke arah kehidupan “smart” .

Tiada ulasan: