CERITA NAK TOLONG MELAYU BERULANG SABAN TAHUN
Sebagaimana biasa, Pak Syeikh baca dan lihat nasib orang-orang Melayu akan dibela. Suara-suara lantang untuk menjaga kepentingan Melayu begitu kuat sekali. Saban tahun bila ada perhimpunan dan pertemuan orang-orang Melayu, nasib Melayu mesti dibincang. Dulu, satu agenda khas membela nasib Melayu mesti diwujudkan. Semua orang bercakap, semua orang mahu supaya orang-orang Melayu dibela nasibnya.
Jangan jadikan orang Melayu seperti jadi pendatang asing menumpang di negaranya sendiri. Negara sendiri mewah, tetapi hasilnya orang asing bawa pulang berjuta-juta ringgit saban bulan ke negara masing-masing. “Orang-orang Melayu (Bumiputera) dan rakyat negara ini tetap duduk ditakuk lamajuga,” demikian diantara suara-suara kesan dari kecewa yang dilontarkan dalam perhimpunan dan pertemuan itu yang Pak Syeikh dengar dan Pak Syeikh ikut sama perjumpaan tersebut. Tahun-tahun sebelumnya, cerita pasal Melayu, nak tolong Melayu dibincangkan tetapi tahun berikutnya, orang-orang Melayu tetap macam itu juga. Maksud Pak Syeikh nasib para peniaga Melayu tetap tidak berubah. Pak Syeikh tidak pasti, apakah para peniaga Melayu itu sendiri tak mahu ubah cara berniaga mereka, atau pun tak cukup modal?. Yang pastinya apa yang Pak Syeikh tahu, modal mereka hanya “singkat” saja. Macam orang tidur pakai kain selimut pendek. Tarik ke bawah nampak kepala dan tarik ke atas nampak kaki.
Apabila kita bercakap nak tolong, tentulah dengan bermodal. Modalnya ialah ‘wang ringgit’. Dengan ‘air liur’ tentulah tidak berjaya dan tak jadi apa-apa pun. Kenapa orang lain yang datang ke negara kita berjaya buka kedai nasi, kedai roti canai, kedai itu dan ini, kerana Dewan Perniagaan persatuan depa bantu dengan realiti, bukan bercakap berapi-api dalam sidang dan sebagainya.
Kita bercakap setahun sekali nak bantu, tetapi tak bantu pun. Peniaga Melayu tetap menumpang di kaki lima kedai ‘orang asing’ yang datang ke sini. Kedai-kedai depa besar-besar dan hebat. Kalau ada projek perumahan baru di mana ada rumah-rumah kedai, depa dah tempah awal-awal lagi. Depa ambil kedai-kedai “koner” belaka. Kemudian orang Melayu tumpang di kaki lima. Kenapa mereka dapat tempat istimewa? Kerana dewan, persatuan dan kroni-kroni depa semuanya bantu dan tolong. Kita ini pegang kuasa politik, tetapi kita hanya ‘main politik’ saja. Nak tolong!! Cuma cakap saja setahun sekali. Apa yang Pak Syeikh ingat, kisah nak tolong peniaga Melayu sejak tahun 80-an dulu. Tetapi peniaga Melayu yang benniaga dalam tahun-tahun tersebut, sehingga sekarang macam itu juga berniaga depa.“Kenapa tak kembangkan perniagaan?” Mereka jawab: “Modal tak cukup. Anak ramai. Rumah sewa. Macam-macam benda nak tanggung.” Orang-orang Melayu masih lagi minta bantu itu dan ini. Kemiskinan wujud di merata tempat. Kadang-kadang Pak Syeikh lihat yang tersiar dalam TV cukup menyedihkan.
Dah 50 tahun Merdeka, takkanlah ada lagi orang Melayu hidup macam itu? Kemudian kita bercakap nak bantu Melayu sejak tahun 80-an lagi, tetapi sehingga sekarang, yang kaya terus kaya, dan mewah harta melimpah ruah, dan yang miskin terus miskin dan menderita, kais pagi makan pagi, dan kais petang makan petang. Pak Syeikh fikir pemimpin-pemimpin Melayu kita patut betulkan pegawai-pegawai yang diamanahkan oleh kerajaan menjaga orang-orang Melayu ini. Janganlah jadi, harapkan pagar, sebaliknya pagar telan apa yang ada.
Akai_pc – Nanti kalau semua dah senang dan mewah takut nanti jadi penentang dan pesaing pulak. Tak ada isu nak dibangkitkan untuk dapat sokongan sebagai pembela dan pelindung.
ADA GOLONGAN TERPENGARUH AJARAN SESAT
Sekarang ini macam-macam ‘sesat’ wujud dalam masyarakat kita. Dah macam-macam ikhtiar dibuat oleh pemimpin-pemimpin agama kita tetapi hilang yang ini, muncul pula yang lain. Dulu, ada orang dakwa dia dapat ‘wahyu’. Dia wakil Tuhan di bumi ini. Kemudian, dia sendiri beritahu konon dia dah letak jawatan wakil Tuhan di bumi, kerana tugasnya sudah selesai. Entah bila dia ni dilantik wakil Tuhan? Tak siapa pun yang melantiknya sebagai wakil. Allah sendiri boleh jaga semua makhluk sama ada yang ada di bumi atau pun di langit.
Hilang yang itu, timbul yang lain pula. Konon, sembahyang pakai niat aje. Tak payah praktikkan. Buat haji pun, pergi ke sebuah negeri di negara kita sudah cukup. Pendeknya, macam-macam hal sesat wujud sana sini. Yang hairannya, ada pula pengikutnya. Ada penyokongnya. Ada orang-orang di belakangnya. Orang-orang ini cuma main ikut-ikut saja. Mereka tak tahu apa benda pun dalam soal agama. Sebenarnya, apa yang Pak Syeikh tahu, mereka yang timbulkan ajaran-ajaran sesat ini cuma nak cari duit aje. Mereka malas nak buat kerja, malas nak berusaha. Cari rezeki dengan cara mudah sahaja. Cara mudah ialah dengan mengajar hal yang pelik-pelik dan menguupulkan orang-orang bodoh menjadi pengikutnya. Dia mengaku sebagai guru. “Guru bodoh mengajar orang bodoh supaya jadi bodoh”. Pak Syeikh harap, kerajaan jangan bertolak ansur dengan mengenakan tindakan-tindakan wajar terhadap mereka yang bertanggungjawab menyebarkan ajaran salah ini. Zaman teknologi sekarang, pun ada orang boleh diperbodohkan. Zaman ilmu pengetahuan begitu pesat berkembang, ada orang yang beleh diperdayakan dengan fahaman-fahaman yang salah dari segi ‘akidah’.
Orang-orang yang bodoh yang ikut sama dalam kumpulan ajaran sesat ini patut tahu bahawa Islam agama yang benar. Semua ajaran, semua kaedah sembahyang iaitu semua rukun Islam sudah dijelaskan di dalam kitab suci Al-Quran. Allah s.w.t. mengutus seorang Rasul Muhammad s.a.w. untuk manusia bagi menerangkan apa yang terkandung dalam al-Quran itu supaya manusia tidak terkeliru. Tetapi ada orang tidak mahu “belajar”, tidak mahu “mengaji”, tidak mahu belajar dengan guru-guru agama yang bertauliah yang diiktirafkan, tetapi sebaliknya mencari dan belajar ilmu agama dari orang-orang yang tidak punya “ilmu dan pengetahuan agama”. Mereka ini semata-mata untuk cari duit secara mudah. Cari rezeki secara jalan pintas. Duduk-duduk atas kerusi, alas tilam, goyang kaki, anak murid boleh hantar makan dan hantar duit.
Ini bukan cara Islam, dan agama tidak suruh penganutnya buat macam itu. Agama iaitu Allah s.w.t. suruh kita berusaha dimana Allah s.w.t. bekalkan kita dengan akal dan lengkap dengan anggota badan yang sempurna untuk kita berusaha mencari rezeki di bumi Allah yang luas ini. Pak Syeikh fikir, orang-orang kita mestilah memahami semuanya ini, dan jangan main ikut-ikut secara ‘membabi buta’ tak tentu pasal.
Akai_pc – Dalam keadaan terdesak dan tertekan pun diri sendiri boleh jadi sesat, walaupun hanya perkataan dibelakang Islam saja ditambah tapi kalau tidak mampu guna kuasa ditangan untuk menegak ajaran Islam sebenar, tak perlulah memburuk-buruk orang lain. Cermin diri dan perbaiki diri dahulu.
PARA ARTIS DENGAN ‘BOTOX’
Pak Syeikh benar-benar terkejut bila mendengar seorang sahabat Pak Syeikh bercerita tentang hampir 90 peratus artis perempuan kita gunakan ‘botox’. Botox ialah satu suntikan hormon untuk memberikan seseorang itu kelihatan segar, ceria dan dilihat muda. Kawan Pak Syeikh ini ialah seorang artis. Dia bersembang-sembang dengan Pak Syeikh mengenai orang gunakan botox ini apa hukumnya dari segi agama. Pak Syeikh beritahunya, isu ini sudah pun diputuskan oleh para ulama kita dalam satu sidang para mufti tidak lama dulu.
Para mufti iaitu ulama telah membuat fatwa bahawa menggunakan botox (injection) hukumnya haram. Pak Syeikh fikir, isu ini sudah jelas. Bagi setengah artis kita dan kalangan orang-orang Islam dan orang mukmin ini ingatlah bahawa perbuatan itu adalah salah dari sisi agama. Kita ini orang Islam, kita ada Tuhan Allah s.w.t. Tuhan sudah jadikan kita sebagai insan ini sebaik-baik makhluk. Kejadian ini sudah sempurna, dan paling baik sekali. Apalah kita nak ubah suai lagi? Apakah ciptaan Allah itu tidak sempurna ke? Kita sebagai orang mukmin mesti ada iman. Kita semuanya akan mati. Kita semua akan tinggalkan dunia ini. Jangan ikut orang lain yang tidak cenderung kepada Islam. Setengah dari orang-orang kita yang masih cintakan dunia tidak percaya akan berlaku balasan di akhirat. Mereka kumpulkan harta dunia sebanyak-banyaknya. Mereka cukup cinta kepada dunia ini, semacam tak mahu berpisah. Ingatlah! Kita sebagai orang mukmin adanya negeri akhirat iaitu puncak kehidupan manusia seluruhnya, sama ada mukmin atau bukan mukmin. Nak buat apa lagi dengan kecantikan. Semuanya akan luntur bila kita TUA. Semua orang yang ada di muka bumi ini akhirnya akan tua. Muda remaja tidak boleh bertahan lama-lama.
Jadi, kalau ada orang pakai botox kerana nak tahan muda mereka, buang masa aje. Tua pasti datang, dan maut pasti menjemput kita. Bila maut menjemput, botox mana, muda mana semuanya akan lenyap dan hancur masuk dalam liang lahad. Wajah kita cantik tadi dengan menggunakan botox dan apa-apa saja yang lain, akan menjadi mangsa cacing, dan ulat-ulat tanah dalam kubur. Janganlah terpedaya dengan kerja-kerja syaitan ini. Ingatlah akan mati, dan ingatlah kepada Allah s.w.t.
Akai_pc - Mana tidaknya, artis kita sudah jadi macam artis barat gila glamour, jadi apa yang orang barat buat mereka pun ikut juga. Inilah kerja-kerja syaitan nak sesatkan umat manusia seluruhnya. Orang biasa pun nak jadi macam artis juga sekarang ni.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan