Saya tertarik dengan kenyataan yang mengatakan negara kita bukan negara kebajikan. Mungkin apa yang dimaksudkan tersebut ialah pemerintahan negara kita bukanlah kerajaan yang sentiasa akan memberi subsidi, memberi bantuan dan sokongan kepada rakyatnya terutamanya golongan pertengahan. Bagi yang betul-betul memerlukan bantuan mungkin masih dibantu tapi membantu untuk mempertingkatkan lagi kemahiran mereka.
Bak kata patah bijak pandai, kalau nak bantu orang tak ada kerja jangan bagi dia ikan tapi bagi kail untuk dia pancing sendiri. Supaya dia tak jadi kebiasaan disuap dan diberi saja sehingga suka meminta-minta tanpa usaha. Dengan diberi bantuan pancing dia sendiri boleh bekerja memancing ikan. Nanti kalau dapat lebih boleh jual, kumpul punya kumpul hasil jualannya bolehlah nanti beli jala dan sampan pulak.
Justeru, makin banyaklah hasil tangkapannya dan perolehan jualan pun bertambah. Lalu penangkap ikan itu pun bercadang nak beli kapal lah pulak supaya dia tak menjala di sungai saja. Sebaliknya dapat belayar di pesisir laut untuk menangkap ikan yang lebih banyak dan jenis yang baik lagi dari ikan sungai. Bertahun-tahun jadi nelayan tentulah dia ada impian nak jadi nelayan laut dalam, lalu dengan modal terkumpul yang ada dia dan kawan-kawannya pun bercadang untuk membeli kapal yang lebih besar dan lebih canggih diperbuat daripada logam yang tahan lasak terhadap hempasan ombak.
Dengan teknologi GPS, sonar, mesin penarik jaring, ruang peti beku yang lebih besar dan kabin kediaman untuk anak kapal maka dapatlah dia dan kawan-kawannya berada di lautan dalam berhari-hari lamanya tanpa menceroboh sempadan perairan negara lain. Mereka pastinya kembali ke daratan membawa hasil tangkapan yang banyak, segar dan berkualiti untuk dijual kepada pemborong, di market, pasaraya ataupun untuk proses bagi tujuan eksport.
Justeru itulah, dalam scenario yang berlaku sekarang ini banyak subsidi dan bantuan kerajaan telah dikurangkan lantaran sudah ramai rakyat yang berkemampuan walaupun kadang-kadang ada yang berpendapatan tinggi tapi hutang keliling pinggang dan ada pula yang suka joli sana sini. Sepatutnya dengan pendapatan yang tinggi perlulah ada perancangan untuk mempertingkatkan lagi taraf hidup supaya tak lagi bergantung kepada orang lain dengan berhutang sana sini. Namun, bagi yang terpaksa kerana desakan hidup dan kos sara hidup asas yang tinggi maka kita termasuk saya tiada pilihan lain.
Namun ia bukanlah alasan untuk kita tidak berusaha memperbaiki diri sungguhpun harga petrol semakin naik berikutan subsidi petrol tidak lagi diberikan, harga barang di pasaran pun semakin meningkat kesan dari kenaikan kos pengangkutan dan pengeluaran, kenaikan tol lebuh raya turut menjejaskan mereka yang sering berulang alik bekerja dari tempat tinggal masing-masing. Bila saya fikirkan kembali situasi ini, sebenarnya ia memberi pengajaran untuk mempertingkatkan daya ketahanan diri terhadap cabaran semasa. Sekali-sekala juga wujud rasa tidak puas hati terhadap cara dan keputusan yang diambil oleh kerajaan secara mendadak.
Tapi bila difikir-fikirkan siapalah saya ini untuk membantah apatah lagi menentang keputusan kerajaan, saya bukanlah orang yang berkuasa dan berpengaruh pun tapi saya tetap ada hak dan kuasa untuk terus bersuara memberi pandangan. Tentunya mereka akan kata : “kenapa tak buat aduan secara bertulis, kenapa perlu luahkan di internet melalui blog”. Itu saya fahamlah, tapi disini saya bukan mengadu secara detail pun. Saya hanya memberi pandangan secara umum dan tidak menyentuh peribadi sesiapa secara keterlaluan melainkan hanya secara kiasan dan perumpamaan saja.
Kalau diadu secara saluran yang betul pun bukannya segera bertindak, sebab itulah ramai pihak mengadu melalui TV3 dan media massa. Dua hari yang lepas muncul di TV tentang permasalahan tiada bekalan air paip di sebuah perkampungan di Sabah. Kampong itu bukannya di tempat terpencil sangat pun, bahkan kampong-kampung lain sudah mendapat kemudahan tersebut. Sebab itulah mereka tak puas hati, kalau kampong lain pun tidak ada sudah tentu mereka tak kisah dan faham akan situasi terpencil mereka di pedalaman.
Sudah banyak kali aduan dibuat tapi tiada tindakan, wakil rakyat pula terpaksa turun padang dan menyatakan rasa tidak puas hati terhadap jentera kerajaan yang bertanggungjawab. Katanya, wakil rakyat sudah menjalankan tanggungjawabnya untuk mengadu permasalahan itu dengan cara yang betul. Tapi tunggu punya tunggu tidak ada tindakan apa pun. Kalau setakat berbulan-bulan dan setahun tak kisah sangat tapi kalau dah bertahun-tahun tak juga diambil tindakan itu sudah keterlaluan. Walaupun begitu pihak kampong tetap mempunyai alternative sendiri dengan membeli tangki-tangki untuk menyadai air hujan dan pam air ketika musim panas. Itu pun sudah dikira tak terlalu mengharap dan bergantung pada kerajaan tapi sebagai kerajaan mereka tetap juga bertanggungjawab untuk membantu menjaga kebajikan rakyat, tidak boleh lepas tangan dan mengata negara kita bukan negara kebajikan.
Apa yang menghairankan ialah ke mana perginya kuasa mengarah pihak atasan, kalau ketua jabatan berdiam diri tak tau nak arah maka ketua yang lebih tua dan tinggi lagi kena buat arahan, kalau tak dengar juga, paksa. Kalau degil melawan pindahkan saja ke tempat bertugas di ulu-ulu Sabah dan Sarawak yang sukar dihubungi laluan darat. Supaya bila bertugas disana tiada siapa pun nak buat aduan sebaliknya dia sendiri yang akan mengadu sukar nak ulang alik ke Bandar dan tempat tinggal asalnya dan merayu-rayu nak pindah.
Masalah ini sebenarnya adalah masalah sistem penyampaian, sistem yang kita laksanakan dari dulu sampailah sekarang ialah dari bawah ke atas, kerana itulah banyak karenah birokrasi kerana bila sudah diadu pada pihak yang lebih tinggi dari peringkat bawah belum tentu lagi akan sampai ke peringkat yang lebih atas. Bila aduan dibuat pada media massa barulah pihak berkuasa yang paling tinggi di atas akan sedar dan tahu. Sebab itulah kita akan dengar kata-kata pemimpin atasan seperti : “saya tidak tahu”, “saya tak dapat maklumat”, “nanti saya pastikan”, “nanti kita akan siasat” dan macam-macam lagi kenyataan yang tak tahu dan tak pasti oleh mereka yang memang tak akan tahu kalau kita tak mengadu melalui saluran lain media mahupun internet.
Saya menyokong usaha untuk memperbaiki sistem penyampaian tetapi saya akan lebih sokong lagi kalau sistem penerimaan apa yang disampaikan diperbaiki dan dipertingkatkan lagi dengan menggunakan teknologi semasa yang sedia ada. Kita sangat berterima kasih kepada teknologi maklumat yang dicipta orang barat kerana telah banyak mempermudahkan sistem penyampaian dan penerimaan agar tidak lagi menjadi lambat, tercicir tidak sampai kepada penerima dan mempunyai ciri-ciri sistem keselamatan yang menjaga hak dan privasi maklumat rahsia pelanggan atau pengguna. Teknologi sebegini telah membantu rakyat marhain seperti kita untuk menjaga kebajikan diri kita sendiri dengan bersuara secara bebas dan terbuka untuk membicarakan hal-hal yang melibatkan kebajikan kita. Kalau nak harapkan majalah dan suratkhabar, kalau tak disiar, ke dalam tong sampahlah arah tujunya. Tapi dalam blog ni semanya terkumpul dalam arkib untuk rujukan.
Kadang-kadang dalam sistem yang kita gunakan sekarang, bukan setakat tidak sampai ke pihak yang lebih atas tapi kita sebagai pengadu pula yang dikenakan tindakan. Maklumat peribadi kita tak dipelihara dengan baik dan akan jatuh ke pengetahuan pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk menganiaya kita. Ini pernah berlaku sebenarnya, bukan pada diri saya tapi orang yang saya kenali. Jika hendak diambil contoh yang umum ketahui ialah dalam kes CITOS.
Oleh yang demikian, seharusnya kenyataan mengatakan negara kita bukanlah negara kebajikan tidak sepatutnya disampaikan kerana ia hanya menimbulkan kontroversi dan komplikasi terhadap keyakinan rakyat terhadap keikhlasan mereka menjadi pemimpin dan pembela nasib rakyat terutama bumiputera yang masih lagi rapuh kedudukan ekonomi mereka. Sedangkan dalam masa yang sama ada kalangan mereka menyalahguna kuasa dan menunjukkan kemewahan hidup mereka kepada rakyat. Entah bayar ke tidak zakat harta dan pendapatan, kita sendiri pun tak pasti sebab bila ada sesuatu keraguan perlulah ada ketelusan untuk membela diri sendiri. Bukannya terus diam kemudian ‘baling batu sembunyi tangan’.
Bila diteliti sepanjang 50 tahun lepas walaupun ada usaha kebajikan yang diberikan pemerintah tetapi ia mungkin kurang berkesan atau tidak terlaksana dengan sebaiknya seperti yang dirancangkan. Memang ada tapi tidak cukup untuk menjadikan rakyat terutama Melayu dan Bumiputera menjadi lebih kukuh dan teguh dalam persaingan dengan bangsa lain yang sememangnya telah dididik dan dibesarkan dalam keadaan yang mengutamakan kebajikan kaum mereka yang bukan penduduk asal. Dengan kedudukan yang teguh terutama dari segi ekonomi, ibu bapa, datuk nenek dan moyang mereka terdahulu telah menekankan kebajikan kepada anak-anak supaya diberi pendidikan yang membolehkan mereka hidup berdikari tanpa bergantung harap pada bantuan pemerintah yang dikuasai oleh orang Melayu dan Bumiputera.
Ternyata hari ini mereka sudah mencapai satu tahap yang tinggi sedangkan kita baru saja nak belajar cara berjalan betul. Bilangan bangsa lain yang berjaya pula terutama cina semakin bertambah, sedangkan kita boleh dibilang denga jari. Zaman ini perubahan berlaku dengan begitu pantas sekali sedangkan kita baru saja separuh jalan tidak berkemampuan untuk berdiri sendiri tiba-tiba tidak dibantu. Pelajar kita bila keluar Universiti hutang pinjaman pendidikan sudah sedia menunggu untuk dituntut oleh pihak berkenaan. Bila nak kerja pula bukan dapat kerja sendiri, mana nak cari modal takkan nak berhutang lagi dengan bank. Jadi ramailah yang nak kerja kerajaan sebab tak pakai modal banyak pun sebaliknya banyak kemudahan dapat diterima seperti pinjaman peribadi, pinjaman perumahan, pinjaman kenderaan dan dapat bonus tiap tahun.
Sedangkan bangsa lain tak berhutang apa-apa pun kerana ada keluarga yang berkemampuan dan yang tak mampu ada persatuan yang sudi membantu. Bila tamat universiti boleh buat kerja sendiri sama ada teruskan perusahaan keluarga mahupun buka bisnes sendiri, keluarga atau persatuan bangsa sendiri yang akan bagi modal. Mereka tak perlu pening-pening nak dibebankan dengan hutang piutang. Kalau nak beli rumah, beli kereta tak perlu buat pinjaman macam kita.
Bukan kita hendak cemburu tetapi kita sedih bila apa yang terbuku di hati pemimpin kita diluahkan dengan kata-kata seperti Melayu mudah lupa, tidak bersyukur, tidak berterima kasih dengan kerajaan dan yang terkini negara kita bukan negara kebajikan. Jika selama 50 tahun ini pemerintah telah berjaya melahirkan lebih banyak bumiputera yang berjaya boleh berniaga sendiri di gedung-gedung besar dan berdikari untuk menghantar anak belajar menuntut ilmu tanpa bantuan pinjaman, tidaklah menjadi hal untuk berkata demikian. Kalau cara memerintah belum betul lagi masih banyak lagi orang Melayu dan Bumiputera merempat terutama orang kampong di luar bandar dan pedalaman, tak payahlah nak berlagak dan cakap besar.
Yang sedihnya bila kemajuan dan pembangunan di bawa masuk ke kawasan pedalaman, macam-macam gejala social yang berlaku. Ini semua kerana pengaruh dan anasir jahat dari bandar dibawa ke luar bandar dengan munculnya pusat-pusat judi, pusat hiburan kelab malam, konsert artis dan macam-macam lagi. Ingatkan bila kemajuan itu dibawa ke luar bandar boleh perbanyakkan lagi usahawan dan peniaga Melayu dan Bumiputera tapi hanya beberapa kerat saja, kalau ada pun berniaga kaki lima, warung kecil tepi pasaraya milik bangsa lain dan di market-market ikan dan sayur. Patutnya mereka yang ada kuasa dan wang berbilion ringgit itu bantulah bangsa sendiri terutama yang tak mampu tapi ada cita-cita untuk miliki lot kedai di pasaraya atau kompleks membeli belah. Pemimpin-pemimpin bumiputera tempatan perlu digerakkan untuk wujudkan satu gerakan usahawan, kumpul ahli yang berminat, minta bantuan kerajaan untuk dapatkan satu atau beberapa lot kedai di kompleks membeli belah sebagai satu pusat sehenti untuk ahli-ahli promosikan produk keluaran mereka.
Ini tak, pemimpin kita terutama yang dalam politik bolot semuanya tak nak kongsi keuntungan dengan rakyat miskin. Mereka untung banyak rakyat cuma dapat beberapa peratus saja dalam setahun, itu pun bukan dengan cara jadi peserta aktif tapi hanya pemegang saham pengurus dana untuk syarikat besar perniagaan. Mereka bisnes besar-besar dapat kontrak itu kontrak ini, buka ladang sana buka ladang sini bila suruh orang kita berniaga hanya dengan kata-kata saja dan suruh buat pinjaman modal perniagaan dari bank. Alangkah baiknya kalau di negara kita ini banyak pemimpin usahawan bumiputera seperti Syed Mokhtar al-Bukhari yang sanggup tolong orang Melayu dan Bumiputera jadi usahawan mula dari peringkat bawah dan juga si Otai penjual Burger.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan