Custom Search

Reviews Directory

Isnin, 4 Februari 2008

Antara cerita & realiti

Sering kali kita mendengar orang berkata: “Islam agama yang hebat dan membentuk penganutnya menjadi insan yang bertamadun dan mendahului umat-umat Islam”. Penyataan tersebut disertakan pula dengan kisah-kisah umat Islam yang telah berjaya dan gemilang sebagai sokongan fakta. Dengan harapan umat di era ini akan rerus berbangga dengan Islam mereka dan umat yang lain akan tertarik hati dengan agama yang agung ini.

Malangnya penyataan sejarah yang lepas kelihatannya amat berbeza dengan realiti yang disaksikan pada hari ini. Sementara manusia pula secara majoritinya lebih terkesan dengan realiti yang disaksikan dibandingkan apa yang tertera dalam lembaran sejarah. Apatah lagi jika umat itu bukan umat yang membaca dan mengkaji. Jika kita lihat kepada masyarakat Islam tempatan kita, khususnya orang Melayu yang mendominasinya, kita agak kecewa. Sebut sahaja segala gejala sosial yang serius, orang Melayu yang mengakui diri sebagai Muslim mendahuluinya. Hinggakan Melayu yang minoriti di Singapura, tetap majoriti dalam pengambilan dadah. Mat rempit, vandalisme, keciciran dalam pendidikan, kemunduran ekonomi dan berbagai lagi, sama ada kita ingin akui atau tidak realitinya, mereka semua didominasi oleh satu masyarakat yang mengakui Islam sebagai agamanya dan Melayu adalah bangsanya.

Persoalan yang ditimbulkan, atau mereka yang bukan ‘Melayu’ tertanya : “Adakah Islam yang dianuti itu punca kepada ini semua?”. Sebab pada zahirnya semua bangsa berkongsi sama di tanah air kita dari segi udara, air, tanah dan persekitaran. Apa yang membezakan antara kita ialah pertama adalah agama, keduanya bangsa. Jika bangsa tidak ada kaitan dengan soal ini, tentu akan dikaitkan dengan agama. Begitulah sebaliknya. Sudah pasti sifat Islam sebagai agama wahyu yang Maha Benar dan sejarah Islam yang gemilang menolak untuk dikaitkan kemunduran dan kelemahan dengan agama yang agung itu. Akidah yang sejahtera akan pasti mengingkari untuk Islam dipalitkan dengan kecacatan dan ketidakmajuan.

Jika demikian, yang tinggal untuk diperbahaskan atau dikaitkan dengan kelemahan ini ialah sesuatu yang berkait dengan bangsa. Bukan tujuan untuk merendahkan bangsa! Sama sekali tidak. Sebaliknya untuk dibaiki dan dinilai. Bahkan bagi saya orang Melayu, dalam hal ini tidak jauh atau banyak bezanya dengan orang Arab. Bangsa Melayu sekalipun banyak kelebihan di sudut budi dan bahasanya, namun dalam beberapa perkara lain secara perbandingan ‘warisan budaya’ Melayu semata tidak begitu mampu atau berdaya saing dalam sesetengah perkara. Ambil sahaja contoh orang cina di sudut budaya kesungguhan kerja, berniaga dan seni-seni kehidupan yang lain, amat mantap untuk dibandingkan.

Secara umumnya, seorang yang lahir dalam keluarga Cina tidak perlu berhempas pulas memahami ilmu perniagaan, kerana ia telah menjadi sebahagian dari kehidupan mereka. Demikian budaya kerja, tolong menolong sesama bangsa dan berbagai budaya positif yang lain. Justeru itu, ramai di kalangan mereka sekalipun tidak keluar dengan kelulusan yang tinggi dalam bidang perniagaan, mereka lebih berjaya dari orang Melayu yang keluar dengan sijil bergulung namun masih menganggur di rumah. Soal rajin kerja, kuat belajar, bersaing secara positif, walaupun ada di kalangan sejarah bangsa Melayu ini, namun ia belum sampai ke peringkat warisan budaya. Sementara orang cina dan Barat telah mewarisinya sejak zaman berzaman menerusi sejarah dan tamadun mereka.

Islam Tulen

Untuk mengatasi kelemahan ruang-ruang tersebut, maka orang Melayu tidak mempunyai pilihan melainkan mengambil suatu tamadun untuk dibudayakan secara zahir dan batin yang tidak mungkin dicabar iaitu Islam yang tulen. Di sini saya sebutkan perkataan Islam tulen bagi membezakan Islam yang telah disalahtafsirkan oleh sesetengah pihak. (Akaipc : Apalagi kalau bukan Islam Hadhari)
Jika Islam ini tidak diambil secara betul, maka orang Melayu atau Arab tidak akan mampu untuk bersaing di persada dunia hari ini, kerana sesetengah bangsa-bangsa lain sekalipun mereka kehilangan akidah yang benar, namun ciri-ciri tamadun kaum yang mereka pusakai telah membantu membawa mereka membina harta dan kekayaan.

Sementara bangsa-bangsa yang menganut Islam, jika tidak benar-benar membudayakan Islam dalam prinsip kehidupan secara komprehensif maka mereka bersaing tanpa sebarang kekuatan. Tidak kekuatan Islam, tidak juga kekuatan tamadun bangsa. Sedangkan bangsa-bangsa yang tidak Islam, sekurang-kurang mereka mempunyai bekalan persaingan iaitu tamadun bangsa mereka yang mempunyai ciri-ciri positif dalam beberapa sudut. Justeru itu, mereka lebih kehadapan dan berjaya.

Mungkin ada yang berkata: “Mana perginya kekuatan tamadun bangsa-bangsa yang menganut Islam itu?”. Apakah bangsa mereka langsung tidak ada keistimewaan? Saya katakan, mungkin. Namun banyak pusaka warisan itu hampir hilang sejak bergenerasi lamanya, dek datangnya Islam yang membawa tamadun yang maha agung dan berwibawa. Juga sifat Islam yang menghapuskan apa yang bertentangan dengan prinsipnya yang kudus. Islam telah mengambil tempat warisan budaya atau pusaka sesetengah bangsa dengan gantian suatu sistemnya yang paling ampuh.

Malangnya apabila generasi kemudian memegang Islam secara pinggiran atau tersasar dari panduannya, maka mereka kehilangan tamadun Islam yang agung, sekaligus warisan budaya mereka yang dahulu. Sesuatu bangsa apabila hilang akar tamadunnya, maka lemahlah mereka serta mudahlah terdedah kepada pengaruh dan serangan luar. Itulah realiti kita hari ini. Melayu atau Arab yang
sedang hanyut dengan dunia khayalan yang digula-gulakan (oleh Amerika melalui Hollywood dan Disneyland). Ditambah lagi Islam yang diajar tidak lagi dalam bentuk yang difahami oleh generasi awal yang telah berjaya membina keagungan. Persoalan akidah tidak lagi menjadi teras dalam hanyak keilmuan. Sehinggakan perkara-perkara yang merosakkan akidah ramai tidak lagi difahami. Ataupun akidah gagal ditempatkan di persada persaingan.

Sementara sesetengahnya mencanangkan Islam dengan tafsiran yang mundur lagi tidak berasas. Sehingga ada yang menganggap selain dari mata pelajaran yang berbunyi Arab adalah sekular. Seketika golongan agama lebih mudah untuk diingati jika dikaitkan dengan kain pelekat, baju Melayu, datang lewat, berjalan ‘slow’, tidur di masjid, susah terima pendapat orang lain, muncul ketika orang mati dan kahwin, dan hilang ketika umat gawat bersaing menghadapi percaturan zaman. Hingga orang akan kehairanan bila seorang ustaz tahu banyak perkara. Jika ustaz tidak tahu tentang perkembangan semasa dan persoalan dunia moden, mereka kata ; “biasalah, dia tu ustaz!”. Maka akhirnya golongan agamawan gagal untuk mengisi posisi-posisi penting umat.

Apa tidaknya ketika harta dan ekonomi umat tergadai, golongan agama masih ada yang bising soal hukum orang bukan Islam makan daging akikah atau larangan menjawab salam mereka! Sepatutnya kita berfikir bagaimana untuk menjadikan Islam ini lebih menarik sehingga bukan Muslim di sekeliling kita menerima petunjuk yang benar. Sekaligus segala kekayaan yang mereka miliki turut Islam bersama mereka. Bukan sekadar sekeping daging akikah, atau sepatah ucapan salam.

Hilang Pusaka
Maka kita hilang Islam, tiada pula pusaka nenek moyang. Islam yang sepatutnya mengisi ruang tamadun kita, telah kita tinggalkan. Maka ramai pemuda kita tiada cita-cita besar, tidak merasa ketinggiaan harga diri dan tiada tanggungjawab, akibat tidak ada jiwa agama. Jika dia berbangsa cina, mungkin dia malu kerana bekerja rajin itu adalah budaya yang jika ditinggal suatu kecacatan dan kehinaan. Jika dia Muslim yang baik, dia akan merasa berdosa hidup tanpa usaha dan perjuangan. Tapi apabila dia Melayu tanpa agama dan budaya, dia rasa itu biasa saja...

Amir al-Mukminin ‘Umar bin al-Khattab pernah menyebut kepada kaum Arab: “Kita dahulunya adalah kaum yang hina, Allah telah memuliakan kita dengan Islam, andainya kita mencari kemuliaan selain dari apa yang telah Allah muliakan kita dengannya, maka kita akan dihina oleh Allah”. Riwayat ini sanadnya dikatakan sahih oleb al-Hakim dan disokong oleh al-Zahabi (Al-Hakim, al-Mustadrak, 1/237, cetakan Daral-Ma’rifah, Beirut).

Maulana Abu al-Hasan Ali al-Nadwi dalam bukunya Kaif Dakhala al-Arab al-Tarikh menggambarkan betapa Arab sebelum kedatangan Islam hidup dalam keadaan terpencil dari pentas sejarah. Sekalipun pada Arab itu ada ciri-ciri yang baik dan akhlak yang mulia. Mereka memiliki keberanian dan kehandalan dalam senjata, juga tunggangan kuda. Mereka mempunyai bahasa yang tinggi nilainya, indah dan baik. Malangnya kesemua itu tidak mampu membawa mereka ke persada sejarah yang gemilang. Namun mereka akhir berjaya memasuki pentas sejarah apabila mereka menjadi pembawa risalah dan hidayah.

Sehingga al-Nadwi menyatakan: “hendaklah orang Arab ketahui bahawa mereka tidak memasuki (pentas) sejarah kecuali dengan jalan risalah Isam dan dakwah Islamiyyah. Allah tidak menumbuhkan kecintaan (orang lain) kepada mereka dalam jiwa dan hati, tidak tersebar bahasa mereka dengan sebegini luas. Ia tidak kekal dan abadi, tidak ditulis dengannya ilmu yang hanyak, tidak terbentuk dengannya perpustakaan yang begitu besar yang mana ulama bukan Arab mendapat habuannya lebih dari orang Arab sendiri, kecuali dengan sebab kelebihan al-Quran dan syariat Islam. Orang Arab tidak akan kembali kepada kedudukan mereka yang awal dan tidak akan memasuki pentas sejarah sekali lagi melainkan melalui pintu yang mereka masuk pada awalnya” (Al-Nadwi, Kaif Dakhal al-Arab al-Tarikh, m.s 26, cetakan: Al-Majma’ al-Islami al-Ilmi, Lacknow, India).

Maka memajukan Melayu bukan dengan sekadar menghidupkan inang dan mak yong atau yang sewaktu dengannya. Sebaliknya ialah dengan membunuh nilai-nilai negative yang dimusuhi oleh Islam, seperti tidak rajin (malas), hasad dengki (cemburu), tidak itqan (bersungguh-sungguh) dalam sesuatu pekerjaan, membazir waktu, melampau dalam hiburan dan berbagai lagi. Wajib menghidupkan nilai-nilai positif yang disuruh oleh al-Quran dan al-Sunnah seperti rasa bertanggungjawab membangunkan umat yang membuahkan kesungguhan menuntut ilmu dalam segala bidang dan melaksanakan peranan kekhalifahan membina tamadun. Roh sebenar Islam mesti diterapkan untuk ini semua.

Maka guru-guru agama, hendaklah memiliki ‘al-uqulal nadijah al-wa’iyyah’ - (akal yang matang lagi berkesedaran) yang mampu menggerakkan tamadun umat. Bukan sekadar membicarakan kes-kes yang hampir pupus pada ratusan tahun yang lepas. Atau sekadar mengulang bab haid dan nifas tanpa mampu menggerakkan murid-muridnya menghasilkan sendiri keperluan wanita moden ketika haid dan nifas.

Oleh Mufti Kerajaan Negeri Perlis

Tiada ulasan: