Sebelum ini saya ada menyentuh tentang sampah dan masyarakat, tapi kali ini saya hendak membicarakannya secara khusus tentang budaya membuang sampah di sekolah. Mustahil sekali ada sekolah yang benar-benar bersih tanpa ada sekeping kulit gula-gula atau keropok di buang di merata-rata tempat di sekolah.
Yang paling menyakitkan hati para pekerja kebersihan ialah apabila ada sampah yang dibuang di celah-celah lubang tak kira lubang apa pun sama ada lubang kunci, celah meja, celah suis, kalau di dalam makmal sains misalnya di dalam laci dan almari penuh dengan kulit gula-gula setiap kali selepas makmal digunakan. Itu belum lagi makmal computer, bengkel KHB dan bengkel seni.
Tong sampah sebenarnya ada disediakan tetapi mengapa pelajar masih juga membuang sampah di merata-rata tempat. Ini melibatkan budaya pendidikan di sekolah negara kita. Pendidikan di negara kita lebih menekankan akademik dan kecemerlangan keputusan ujian dan sukan. Soal akhlak, sikap dan perangai pelajar tidak ditekankan. Ada pihak mengatakan pelajar tidak perlu dibebankan dengan tugas-tugas yang remeh seperti itu. Kalau dulu semasa saya masih bersekolah setiap pagi pasti ada sekumpulan pelajar dari setiap kelas telah ditugaskan untuk membersih tandas, membersih longkang dan mengutip sampah. Tidak ada seorang pelajar pun akan terkecuali kerana setiap pelajar tak kira dari tingkatan berapa akan tiba gilirannya untuk tugas-tugas social di sekolah sepanjang tahun.
Tapi hari ini semua tugas itu telah diambil alih oleh pekerja kontrak pembersihan dan juga pekerja tetap di sekolah itu. Seorang tukang akan sibuk menukar suis yang rosak, tingkap kelas yang pecah dan pintu kelas yang tercabut, ia sengaja dirosakkan oleh pelajar. Pelajar hari ini terlalu dimanjakan dan tidak diberi latihan untuk melakukan kerja-kerja amal di sekolah. Pada tanggapan pihak lain, apa gunanya pekerja dibayar gaji tiap bulan kalau bukan hendak mengerjakan itu semua.
Ini bukan soal tak kerja dan goyang kaki tak ada kerja nak buat, tapi ini adalah soal pendidikan kepada anak-anak kita supaya saling tolong menolong dan menjaga kebersihan kawasan dan harta benda awam di sekolah. Bila di sekolah sudah terdidik dengan cara sedemikian, pasti juga ia menjadi amalan di rumah. Pastinya setiap ibu bapa inginkan anak-anak yang cemerlang dalam semua segi. Jangan cemerlang akademik dan sukan saja tapi akhlak hancur menyusahkan ibu bapa.
Kalau budaya sebegini dipraktikkan di sekolah secara berterusan pastinya tidak ada budaya vandalisme dan menyusahkan ketenteraman awam berlaku di luar sekolah. Golongan yang tak mendapat didikan akhlak di sekolah ini lah yang bakal mengganggu dan merosakkan harta benda awam di dalam kalangan masyarakat umum kelak. Walaupun ada matapelajaran kesedaran sivik namun ianya sekadar teori semata-mata, tiada praktikal diamalkan di sekolah. Pembelajaran tidak seiring dengan perlaksanaan praktikal, ini semua kerana mengutamakan keputusan semata-mata.
Disebabkan di sekolah mereka dilayan seperti anak raja, tidak diberi latihan kerja social maka itulah muncul gejala baru iaitu tabiat membuli. Sekarang ini pelajar bukan saja suka membuli sesama mereka sendiri di kalangan pelajar tetapi mula sudah tahu membuli orang dewasa secara tidak langsung. Mereka membuang sampah merata-rata kemudian pekerja pembersihan mengutip dan membersihnya. Mereka sengaja merosakkan kerusi bangku dan suis elektrik serta memecah tingkap kemudian pekerja am akan membaiki dan menggantikannya. Begitulah seterusnya sampai bila-bila selagi tidak ada usaha untuk mendidik pelajar agar mempunyai sikap hormat dan bertanggungjawab di sekolah.
Jika system pembelajaran dan pengajaran di sekolah disusun dengan betul iaitu antara pembelajaran di dalam kelas dengan pembelajaran di luar kelas. Tidak mustahil pelajar dapat dibentuk dengan baik. Di dalam kelas cemerlang dengan akademik, di luar kelas pula bukan saja cemerlang dalam kokurikulum tapi juga sikap tolong menolong dan hormat menghormati. Sudah tentu negara akan dapat menjimatkan wang rakyat daripada memperkenalkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Jika program latihan khidmat sekolah dapat dibentuk dengan baik dan tersusun pastinya pelajar kita yang akan menjadi orang dewasa kelak akan mempunyai disiplin yang baik. Jadi negara kita dapat menjimatkan wang rakyat daripada diperuntukkan bagi program PLKN ini.
Di sekolah yang saya lihat walaupun tong sampah berada di depan mata sekalipun masih juga pelajar membuang sampah di bawah bangku, atas meja, bawah meja. Di dalam kelas lagi teruk, seolah-olah tiada pelajar yang bertugas atau rela bertugas untuk bekerjasama membersihkan kelas masing-masing. Sehinggakan di dalam kelas pun tiada jadual nama pelajar bertugas membersih kelas dari hari isnin hingga jumaat. Beginilah reality pelajar masa kini.
Mungkin ada pentadbiran sekolah yang cukup ketat perlaksanaan disiplin pelajarnya. Tidak kurang juga banyak sekolah yang pentadbirannya berterabur dengan masalah disiplin yang teruk. Tidak pasti apakah puncanya, adakah kerana bebanan tugas yang semakin hari semakin banyak? Tepuk dada tanya selera. Kerana apa yang paling penting adalah kecemerlangan akademik dan sukan perlu dijaga dan dipertingkatkan. Yang lain-lain tu tolak tepi biarkan saja asalkan sekolah dapat anugerah maka semua tenaga kerja perlu dikerah supaya tak makan gaji buta untuk memanjakan anak-anak dan pelajar kita dengan segala kesenangan dan kemudahan yang mereka tak perlu bersusah-susah nak dapat.
Jadi, pekerja yang jadi kuli pelajar dan kuli pegawai atasan terpaksalah terima hakikat ini. Jangan banyak soal dan jangan komplen kat mana-mana media, kalau tak akan kena gam. Tapi saya bukan hamba abdi, saya manusia yang bebas dan mempunyai hak untuk bersuara secara bebas tanpa rasa khuatir. Namun, realitinya kebebasan itu hakikatnya tiada kerana yang kuat akan berkuasa dan yang berkuasa boleh bertindak atas mereka yang lemah.
Kalau tidak mau dibuli maka bersuaralah dalam keadaan Private & Confindential tanpa mendedahkan identity supaya tak akan dibuli sama ada di alam siber maupun di alam reality.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan