Parlimen sudah dibubarkan, tarikh penamaan calon dan pembuangan undi telah ditetapkan. Inilah masanya untuk kita membuat penilaian parti mana yang hendak kita pangkah kelak. Mereka kata pilihlah parti yang mempunyai reputasi atau track record yang baik, tak kira siapa yang jadi calonnya. Namun, kali ini pemilihan calon lebih ketat lagi dengan menyemak rekod senarai yang dicalonkan oleh BPR. Supaya tiada calon yang rasuah, menyeleweng dan meragukan latarbelakangnya.
Tapi sejauhmanakah ia dapat ditapis dengan sebersih-bersihnya. Namun, itu adalah tapisan BPR sebuah badan bebas yang pekerjanya dibayar gaji. Penilai yang sebenar-benarnya yang menentukan sama ada calon itu rasuah, menyeleweng atau mempunyai latarbelakang yang baik adalah rakyat iaitu diri kita sendiri, kita tak dibayar gaji untuk menilainya. Tidak perlu kita terlalu meyakini penilaian pihak lain kerana keyakinan dan kepercayaan yang sebenarnya adalah datang dari diri kita sendiri.
Selama wakil rakyat di tempat kita menjadi ahli dewan undangan negeri atau parlimen, sejauh manakah mereka telah membantu kita. Adakah mereka membawa kemajuan dan pembangunan di tempat kita benar-benar memberi manfaat kepada kita atau manfaat itu hanya direbut oleh orang lain yang lebih berkemampuan dan lebih kaya dari kita. Ataupun adakah hanya wakil rakyat ini saja mendapat habuannya bilamana memberikan projek-projek pembangunan kepada kroni-kroni dan konco-konconya.
Sungguhpun projek itu dikatakan akan memberi peluang kepada pekerjaan kepada orang tempatan adakah orang tempatan itu yang bekerja disitu atau orang dari tempat lain datang merebut peluang perniagaan disitu. Kalau ada pun orang tempatan mereka bukanlah majority pemilik premis perniagaan disitu, sebaliknya dimiliki oleh bangsa lain. Sementara orang tempatan hanya menjadi pekerja mereka.
Bagi yang mempunyai keinginan untuk berniaga tapi tak berkemampuan untuk menyewa atau membeli premis perniagaan tersebut maka mereka hanya mampu menumpang di kaki lima dan membina gerai setinggan berdekatan dengan premis milik bangsa lain. Malang menimpa orang kita bilamana gerai-gerai setinggan ini dirobohkan oleh kerajaan tempatan kerana dikatakan mencemar lanskap bandar dan hanya menyemakkan tepi jalan raya yang menjadi lalu kenderaan, orang ramai dan pelancong-pelancong asing.
Inikah reality keistimewaan yang dimiliki oleh orang kita pemilik asal bumi bertuah ini, tapi bagaikan orang asing merempat di tempat sendiri. Setelah keistimewaan penggunaan bahasa melayu dipijak-pijak, Islam pula ditokok tambah sebutannya bagi membezakan Islam yang ekstrim dan ganas yang kononnya diamalkan oleh pihak lawan. Subsidi ditarik balik menjadikan semua pihak samarata dan sama saja, tiada lagi keistimewaan untuk orang kita.
Yang kaya, yang miskin, yang merempat dan yang hidup senang lenang semuanya menerima kemudahan, perkhidmatan dan harga barang pada satu harga yang sama. Yang kaya hidup senang lenang tidaklah menjadi masalah untuk menanggung kenaikan kos hidup. Tapi yang miskin merempat tidak mendapat pembelaan oleh mereka yang berkuasa dari kalangan mereka sendiri. Sebaliknya mereka mengambil kesempatan untuk terus mengaut keuntungan di atas kesusahan rakyat jelata. Bila ramai yang susah dan semakin susah maka mereka akan cuba jadi hero menjadi penyelamat, pembela dan penolong. Inilah rupanya permainan politik selama ini.
Mereka kata negeri itu bila dibawah pemerintahan lawan tidak membangun dan maju dengan pesat, tapi setelah mengambilalih pelbagai kemajuan yang terbangun di negeri itu. Memang mudah untuk berkata-kata, kita tentu tahu bahawa kemajuan tidak boleh dibuat dengan air liur sahaja, semuanya perlukan duit. Tapi malangnya kita terpedaya oleh kata-kata mereka. Bandingkan sebuah kerajaan yang memerintah satu negeri sahaja dengan sebuah kerajaan yang memerintah 13 negeri. Banyak manakah hasil pendapatan yang diperoleh oleh kerajaan itu untuk membangunkan negerinya berbanding dengan kerajaan yang memperoleh pendapatan dari 13 negeri boleh saja menyalurkan perbelanjaan pembangunan untuk negeri yang mundur.
Bagaimana mereka boleh mendapat pendapatan itu, tentunya dari pelbagai jenis cukai yang dikutip dari rakyat jelata. Kalau kita makan di KFC dan McDonald kita dikenakan cukai 5% dan ia dinyatakan sebagai Government Tax dalam resit bayaran. Kalau ke tandas awam juga kena cukai 20sen. Kalau nak berniaga juga kena bayar lessen dan dikenakan cukai tahunan. Kerana tidak mampu membayar cukai inilah maka ramai peniaga kita berniaga di kaki lima dan membina gerai-gerai setinggan.
Mengapakah orang kita sendiri tak ditolong nak dibantu dengan ikhlas? Bantuan yang ada sekarang bukanlah bantuan yang sebenarnya ia adalah bantuan pinjaman. Pinjaman yang perlu dibayar semula dengan ribanya sekali. Pinjam RM50 000 bayar balik dalam tempoh 10 tahun sebanyak RM80 000. Bagi mengelak dikatakan riba maka ia diubahsuai sikit supaya ada aqad iaitu persetujuan dua pihak untuk menerima perjanjian jual beli tersebut bentuk pinjaman wang. Nak tak nak peminjam terpaksa terima perjanjian itu kerana terdesak untuk menggunakan wang.
Mengapa Tan Sri Syed Mokhtar boleh berjaya seperti hari ini, kerana dia membantu dirinya sendiri. Beliau mengambil peluang yang diberikan. Tapi bagaimana pula nak membantu orang yang tak dapat membantu dirinya sendiri sedangkan dia ada cita-cita untuk menjadi seorang usahawan berjaya. Kenapa orang seperti ini tidak diberi peluang tanpa dibebankan dengan karenah birokrasi dan hutang piutang.
Daripada banyak-banyak premis perniagaan komersil di pasaraya dan kompleks membeli belah, mereka yang berkuasa dan berkemampuan untuk membantu tidak menyediakan peluang perniagaan kepada kumpulan peniaga tempatan yang berpotensi. Mungkin mereka boleh menyediakan atau membeli 20-30 atau lebih lot premis perniagaan untuk diberikan atau jika tidak mau beri percuma sewakan saja dengan kadar yang murah untuk 10-20 tahun atau lebih.
Pastinya dalam tempoh itu akan lahirlah generasi usahawan bangsa kita sebagaimana bangsa lain yang bermula sebagai peniaga runcit, menjual dengan berbasikal atau bermotosikal dari rumah kerumah, akhirnya kini mereka berjaya memiliki premis perniagaan kekal dan mewujudkan empayar perniagaan yang luas. Mereka menjadi kaya dan mewah seperti hari ini pun kerana kita terus membeli dari mereka. Kalau ramai peniaga kita memiliki premis perniagaan pastinya kita akan membeli dari orang kita sendiri. Malang bagi kita kerana kita tak bermula dari dulu lagi, dari tahun 70-an kerana pemimpin kita hanya mengharap agar orang kita berusaha sendiri dengan keringat dan modal sendiri.
Walau bagaimanapun, realitinya mungkin ada pemimpin yang hendak membantu dulu tapi mungkin juga disebabkan kaedah perlaksanaan akhir tak berkesan maka mudahlah berlaku penyelewengan. Ini kerana mungkin selama ini kita telah memilih pemimpin yang salah atau juga mungkin kerana strategi kita sebagai rakyat untuk menghalang kecenderungan penyelewengan dikalangan pemimpin adalah salah. Bilamana majority pemimpin di parlimen atau dewan undangan negeri dari satu kumpulan parti saja maka tiada siapa yang berani hendak menegur dan memerhatikan apa yang mereka buat dan apa yang mereka cakap.
Sebaliknya dalam situasi 50-50 maka ruang untuk penyelewengan semakin sempit dan tiada mana-mana pihak boleh mengatakan diri mereka hebat dan mendabik dada kumpulan yang banyak mendapat sokongan. Kerana masing-masing tahu bahawa angka 50-50 bermakna seimbang dan masing-masing sering memerhatikan gerak geri dan hasil kerja yang dilakukan. Sebagai rakyat tempatan pastinya kita berkecenderungan untuk memilih calon dari kalangan orang kita sendiri yang boleh diharap untuk membela nasib kita di bumi bertuah ini agar tidak merasa asing dan merempat di negara kita sendiri.
Jadi, undilah dengan bijak mengikut tafsiran kita sendiri, bukannya undi dengan bijak mengikut tafsiran pihak lain. Jangan biarkan diri kita dikuasai oleh minda orang lain yang hendak menguasai hak dan keistimewaan kita, iaitu kebebasan berfikir.
1 ulasan:
hmmm... panjang bebeno wehhh... ade kebenaran jugak tuh... selamat mengundi yek...
Catat Ulasan