Custom Search

Reviews Directory

Selasa, 26 Februari 2008

Minda Itu Media


Mungkin ada yang belum tau apa itu minda, berikut adalah pengenalan tentang bagaimana minda itu berfungsi :

Memahami Minda Sebagai Satu Bentuk Media

Pernahkah kita terfikir bahawa minda adalah juga satu bentuk media? Bagaimana hal ini boleh terjadi?

James K. Van Fleet dalam bukunya Hidden Power telah membicarakan minda bawah sedar (subconcious mind) sebagai satu gelanggang ekslusif yang tidak sahaja berperanan sebagai pemikir tetapi juga pencetus idea, penyelesai masalah dan pembuat keputusan. Hal ini bagaikan satu gelanggang yang bertindak apa-apa saja mengikut arahan pemiliknya. Sebagaimana media dimiliki dan diperalat oleh pemiliknya, minda di dalam kepala juga akan bertindak mengikut ketetapan yang telah ditetapkan oleh tuan punya kepala. Minda adalah satu bentuk media yang terhebat dan tercanggih kerana media bercetak atau elektronik yang berada di sekeliling kita sekarang ini dilahirkan oleh media (minda) yang berada di dalam kepala itu

Kehebatan minda sebagai media adalah keupayaannya bertindak sendiri dengan memberikan jawapan-jawapan yang dikehendaki oleh pemiliknya. Misalnya, A mahu menulis sepucuk surat untuk seorang teman yang tinggal amat berjauhan daripada negaranya. Sewaktu menulis itu A akan dibantu oleh mindanya dengan memberikan maklumat-maklumat sampingan yang relevan, misalnya fakta tentang cuaca, suasana, iklim, ekonomi dan politik negaranya mengikut ilmu bantu yang dimilikinya hingga menjadikan suratnya bukan seperti surat biasa tetapi seperti senaskhah akhbar yang penuh maklumat. Minda dalam otak A telah bertindak sebagai sebuah ensiklopedia, seperti sebuah kamus, seperti sebuah perpustakaan, seperti arkib, seperti jabatan kaji cuaca, malah seperti parlimen. Dalam kata lain minda dalam otak A telah bertindak sebagai sebuah media .

Kajian yang telah dilakukan oleh pakar-pakar mendapati cara minda atau media dalam otak ini bekerja adalah hampir menyamai sebuah komputer bekerja. Bagaimanapun, seorang saintis telah rnenyebut, “Minda bekerja seperti sebuah komputer tetapi tiada satu pun komputer dapat bekerja seperti minda.” Seterusnya dia berkata, “Buat selama-lamanya, sains tidak akan mampu menghasilkan sesuatu yang sehebat minda. Walaupun jika dapat, minda manusia masih diperlukan untuk menggerak kannya.”

Terdapat sebanyak 10 hingga 15 bilion neurons di dalam setiap otak atau dua kali lebih banyak daripada sejumlah manusia di seluruh dunia. Meskipun jumlah neurons menunjukkan tahap kebijaksanaan - kebijaksanaan ditentukan oleh jumlah sambungan setiap otak sekurang-kurangnya mempunyai sebanyak 10 trilion (10 000 000 000 000) sambungan yang dipanggil synapse. 10 trilion ini adalah jumlah yang amat besar untuk diyakini sebagai kejadian paling ajaib dan menakjubkan yang ada pada diri manusia. Sudah tentulah, apabila minda dikatakan sebagai media - dengan jumlah sambungan yang sebegini banyak - menjadikan ia satu pengkalan data yang terhebat mengatasi komputer terbaik pernah dihasilkan atau tidak mungkin mampu dihasilkan.

Sudah tentu ini suatu hal yang semestinya kerana komputer itu sendiri dicipta oleh otak. Sudah tentu bahan ciptaan tidak boleh mengatasi kehebatan si pencipta sebagaimana ALLAH tidak dapat ditandingi oleh ciptaan Nya.

Para saintis telah membahagikan otak manusia kepada tiga; neocortex, mammalian dan reptilian. Dalam otak neocortex inilah minda dibahagikan kepada dua bahagian pula iaitu kiri dan kanan. Biasa disebut otak kanan sebagai otak kreatif dan kiri sebagai numeric. Kajian menunjukkan kedua-dua minda ini bekerja memberikan pelbagai maklumat atau apa-apa juga yang diperlukan. Misalnya, bahagian belakang neocortex berfungsi memproses data visual, sisi memproses data auditori, tengah memproses data hasil sentuhan dan mengawal pemikiran, pendengaran, penglihatan dan juga pertuturan. Manakala otak mammalian berperanan sebagai alat pengingat dan otak reptilian mengawal pernafasan serta denyutan jantung.

Secara lebih terperinci minda kiri berfungsi melalui empat pecahan iaitu logik, bahasa, matematik dan analisis, di mana logik adalah turutan, sebab, dan arahan; bahasa adalah tulisan, bacaan dan bertutur; matematik ada nombor dan analisis adalah penilaian.

Pecahan minda kanan pula ialah gambar, imaginasi, ritma dan dimensi. Dimana gambar adalah rnengenal warna, imej dan corak; imaginasi adalah nilai kreativiti dan ritma adalah muzik dan dimensi adalah ruang.

Apabila dibicarakan terus tentang peranan minda menguasai seluruh cara berfikir dan pergerakan individu terutama tentang bagaimana ia menerima maklumat, menyimpan dan mengeluarkannya kembali apabila diperlukan dengan begitu pantas dan efisien, serasa ia adalah media yang paling tidak terjangkau untuk difahami dan difikirkan oleh minda itu sendiri. Lihat bagaimana memori terbentuk. Bermula daripada menerima maklumat, menyimpan, kemudian mengeluarkannya kembali atau registration, retention, dan retrieval. Semuanya boleh dilakukan sama ada sekelipmata, lemban, atau tidak sekali-kali bergantung kepada minda sedar (concious mind), minda bawah sedar (subconcius mind) ataupun minda tidak sedar (un concius mind) sewaktu menerima sesuatu maklumat itu.

Bercakap tentang minda bawah sedar ini pula menurut Fleet lagi seluruh idea manusia datangnya dari situ. Ia satu bentuk media yang benar-benar menakjubkan dengan bertindak sebagai ensiklopedia, kampus, komputer, CD, dan segala-galanya. Ia adaah sumber maklumat, penentu bagi sebarang keputusan yang akan dibuat oleh minda sedar malah ibarat enjin yang menggerakan jika diibaratkan seperti sebuab kenderaan.Tanpa minda bawah sedar ini manusia tidak ubah bagaikan alat mainan kanak-kanak iaitu berfungsi mengikut progam yang telah ditentukan sahaja. Jika sesebuah alat mainan itu telah diprogramkan berpusing, ia akan terus-menerus berpusing sehinggalah kuasa yang dibekalkan atau disambungkan kepadarnya habis. Namun, satu kekurangan Fleet dalam berteori ialah meletakkan seluruh keupayaan kepada minda bawah sedar tanpa dapat mengaitkannya dengan kehendak Tuhan dan peranan doa untuk meraih ilham.

Minda bawah sedar adalah satu-satunya media yang boleh bertindak sendirian mengikut ketetapan yang telah ditetapkan oleh minda sedar. Misalkan begini; seseorang (B) telah menetapkan bahawa dia perlu berjaya dalam bidang yang diceburinya. Katalah bidang jualan. Apabila hatinya berkata; ”Aku mesti buat jualan bernilai RM1 juta pada tahun ini”. Dia sebenarnya telah meletakkan satu target dalam minda sedarnya. Target yang tertanam dalam minda sedar ini secara automatik akan diketahui oleh minda bawah sedar. Tanpa diketahui oleh B, minda bawah sedar ini akan bekerja dengan sendirinya dan akan memberikan jalan-jalan atau idea secara tidak terduga. Ia mungkin muncul seminit dua selepas itu atau pun sehari dua atau pun seminggu dua dan seterusnya. Syaratnya B mesti ada ilmu bantu iaitu pengetahuan-pengetahuan asas tentang perniagaan, ekonomi atau pengalaman-pengalaman berkaitan dan sebagainya. Pertumbuhan idea sebegini hanya mampu dilakukan oleh media yang bernama minda dan hanya boleh dilakukan oleh hidupan yang bernama manusia. Sekali lagi, kehebatan media ini perlu dikaitkan dengan izin Allah kerana bergantung semata-mata kepada minda bawah sedar tidaklah tepat dan tidaklah selalunya benar. Keupayaan manusia tidak selama-lamanya total sebab ia adalah kejadian yang dijadikan.

Lihatlah betapa minda bukan sekadar membekal maklumat tetapi mencari jawapan kepada permasalahan. Justeru, mengatakan ia adalah suatu bentuk media sahaja belumlah mencukupi sebab setiap yang dijadikan sentiasa dibawah kawalan ”Yang Menjadikan” dan inilah suatu hakikat yang perlu difahami dan diyakini oleh semua. Dalam kita mengagumi minda sebagai suatu bentuk media yang terhebat kita sebenarnya tertakluk kepada cabaran untuk mengakui memang ia ia telah dijadikan sedemikian oleh sebenar-benar pencipta iaitu Allah Yang Maha Mencipta.

Tiada ulasan: