MEMASAK PUN ARTIS BOLOT
SEPANJANG bulan Ramadan lalu (memang tiap-tiap tahun dalam bulan Ramadhan), Pak Syeikh lihat program TV kita dimonopoli oleh para artis sahaja. Sehingga rancangan masak memasak pun, artis juga jadi tukang masak, dan menyediakan lauk pauk dan tolong itu dan tolong ini. Sudahlah bidang-bidang lain seperti nyanyi, lawak, lakonan orang lain tak ada peluang, sehingga masak memasak pun nak bolot juga ke? Pak Syeikh kira, tukang masak yang profesional ramai dalam negara kita. Orang-orang lama dengan resepi-resepi lama juga banyak. Kenapa pihak stesen TV tidak mahu ambil atau pun tidak mahu gunakan tenaga-tenaga orang-orang lama ini?
Pak Syeikh kira, dalam seharian, dalam masa setahun, orang ramai hanya makan, ataupun masakan cara moden dengan resepi-resepi moden, dan masakan moden. Apa salahnya sekali dalam setahun kita beri peluang kepada pemasak-pemasak lama mengemukakan resepi mereka untuk dirasai sama dalam bulan Ramadan. Misalnya, sayur tangki masak lemak, ikan sungai masak rempah, ikan haruan masak rempah berlada, rasanya kita boleh cuba resepi orang-orang lama ini. Beri peluang makcik-makcik dan ibu-ibu warga emas untuk menunjukkan bakat mereka dengan mengemukakan resepi zamannya untuk orang-orang zaman ini mencubanya. Pak Syeikh lihat misalnya masakan ‘Asam Pedas’. Asam pedas yang dimasak oleh generasi baru tidak sama rasanya dengan generasi lama. Air tangannya, dan resepi tidak sama dengan resepi mereka. Apa yang Pak Syeikh lihat, siang malam, hidangan berbuka puasa rancangan masak memasak hanya artis sahaja yang muncul. Bukannya sedap sangat pun masakan itu?
Dah ada orang mencubanya, tetapi mereka kata, entah apa-apa rasanya. Tak tentu arah aje? Pak Syeikh pernah makan satu masakan dan orang lama yang memasak lauk dan perut lembu yang macam ‘towel’ tu? Perut lembu itu di potongnya sebesar anak jari. Kemudian dimasak menggunakan lada hitam, yang barang siapa memakannya lauk itu pasti ‘memberontak’ kerana terlalu pedas. Tetapi pedas yang terdapat dalam lauk yang disediakan orang lama ini agak lain. Ia mengandungi resepi yang membolehkan orang yang memakan merasa lega, dan hilang rasa “risau” dan demam-demam (sekiranya ada demam).
Pak Syeikh lihat juga tidak ada artis yang tahu masak ‘umbut kelapa’, yang pandai masak ‘cendawan terkukur’ dicampur dengan keledek, udang dan ikan bilis? Benda-benda macam inilah yang mesti dimasak, atau pun dicuba? Apa yang Pak Syeikh lihat, asyik-asyik ayam percik, ikan bakar, sayur kubis masak lemak, ikan keli masak asam pedas, rebung masak lemak. Pi mai-pi mai tang tu juga.
Akai_pc – Siapalah kita orang biasa ni berbanding artis, bukannya boleh tolong mereka buat duit pun. Buang karan saja. Kalau artis barulah ada orang nak beli ramuan masakan segera tu sebab bila orang kita banyak yang minat kat artis tu, jadi masakannya pun orang minat jugaklah.
DATO’ ABU HASAN DIN KENA GAM?
Ada seorang kawan beritahu Pak Syeikh, macam mana ilmu agama boleh berkembang luas, kalau ada orang-orang yang bijak kena gam. Pak Syeikh tanya kawan itu: “Siapa yang kena gam? Jawab kawan itu: “Datuk Hasan Din Al-Hafiz”.“Pasal apa dia kena gam?” tanya Pak Syeikh lagi. Jawabnya ringkas: “Entah...” Barulah sekarang Pak Syeikh tahu rupa-rupanya Dato’ Abu Hasan Din A1-Hafiz yang kita hormati kerana ilmu agamanya digam oleh stesen TV.
Tetapi ada stesen TV yang lain tidak pula gam Dato’ Abu Hasan Din? Selalu juga wajah tokoh ulama ini muncul melalui rancangan agama? Semenjak Pak Syeikh dapat berita tentang Dato’ Abu Hasan Din kena gam ini, Pak Syeikh cuba berusaha untuk bertemu dengan beliau untuk bertanyakan kenapa beliau kena gam? Ditakdirkan, Pak Syeikh dapat bertemu dengannya dalam pesawat yang sama, dan menuju satu tempat yang sama, dan untuk menghadiri satu majlis yang sama juga. Disinilah Pak Syeikh dapat bertanya, apakah benar beliau kena gam oleh sebuah stesen TV? Dato’ Abu Hasan tidak ada dialog apa-apa ditanya hal itu. Beliau hanya tersenyum dan kemudian menganggukkan kepalanya.
Pak Syeikh tanya lagi: “Kenapa?” Tak jawab juga, cuma ketawa sinis dan berkata: “Ana kena gam zaman Tok Mat lagi.” Beliau sendiri tidak tahu kenapa jadi begitu, dan apa salahnya, sehingga beliau digam. Pak Syeikh tak fikir kerana abangnya, seorang tokoh pembangkang maka melibatkan adiknya pula? Apa yang Pak Syeikh difahamkan, era sekarang ini dah tak ada gam menggam lagi? Apa yang Pak Syeikh tahu orang-orang sekarang mempunyai fikiran terbuka, liberal, tak jumud macam dulu. Pak Syeikh tahu orang-orang sekarang tidak punya sikap emosional, tetapi lebih mementingkan ilmu pengetahuan.
Pak Syeikh tak fikir oleh kerana perbezaan fahaman politik maka Datuk Hassan Din jadi korban?
Negara kita ini dah lah tak ramai ‘agamis’ yang berpengetahuan agama, kemudian ada seorang dua yang tahu bercakap ‘hukum hakam’, dan tak boleh pula? Apa yang Pak Syeikh tahu, Dato’ Hasan Din bukan seorang ahil politik. Beliau tidak berpihak mana-mana pun. Orang-orang Islam semuanya berpihak Islam, termasuk Dato’ Abu Hasan Din sekali. Ayat Quran ada sebutkan hal ini.
Akai_pc – Politik la katakan, kalau ada 'agamis' yang tak setuju dengan mereka tentulah rasa tergugat takut nanti rakyat terpengaruh atau mula sedar. Jadi untuk terus melalaikan rakyat terutama muda-mudi yang bakal jadi pelapis kepimpinan masa depan kenalah bagi hiburan macam-macam kat mereka supaya tak akan jadi pemimpin yang akan bersaing dengan pemimpin muda kelahiran mereka.
IMAM-IMAM PATUT BACA
Pak Syeikh sangat tertarik dengan satu tulisan oleh Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri yang bercakap tentang soal doa. Apa yang kita lihat sekarang, kebanyakan dan orang-orang kita apabila bersembahyang fardu berjemaah, imam akan membaca doa yang panjang, manakala makmum mengaminkannya. Tetapi, Pak Syeikh pernah ke Indonesia, dan pernah juga ke beberapa negara Arab, dan sekali sekala singgah solat jemaah, tetapi imamnya tidak pula berdoa selepas solat fardu.
Sebagaimana yang disebut oleh Mufli Perlis itu, masing-masing punya hajat sendiri. Jadi, selepas solat mintalah apa yang kita nak minta kepada Allah. Allah s.w.t. Maha Pemberi, dan Allah akan mengkabulkan doa-doa hamba-hambaNya. Nak buat apa kita mesti suruh orang lain bacakan doa dan hajat kita? Pak Syeikh harap ada diantara para imam kita ada membaca tulisan Pak Mufti Perlis itu setiap minggu. Beliau telah mengupas banyak perkara mengenai masalah agama. Adalah rugi besar sekiranya, ada diantara kita terutama para aktivis agama yang tercicir dari membaca rencana beliau yang sangat tinggi nilainya itu. Bukannya mudah untuk mendapat ilmu macam itu. Dulu, orang-orang cari ilmu jalan kaki beribu batu jauhnya. Kalau baca sejarah imam-imam mazhab menuntut ilmu berjalan kaki, jumpa tuan guru, jumpa alim ulama untuk mendapatkan ilmu.
Kita sekarang orang alim hantar ilmu kepada kita. Beli majalah, beli buku, beli surat khabar, kita sudah dapat ilmu yang sangat berguna. Pak Syeikh sangat tertarik dengan satu penjelasan beliau mengenai doa selepas sembahyang. Para imam kita patut mengambil tauladan dan rencana itu. Kadang-kadang dalam masjid jadi ‘haru biru’ bila Pak Imam baca doa kuat-kuat dan panjang pula, sehingga ada orang lain nak solat terganggu.
Akai_pc - Berjemaah dalam solat saja tapi doa antara diri kita dengan Allah swt. Betul tu, ada mufti dan ahli agama kita yang ada blog atau ruang forum sendiri untuk bersoal jawab dengan masyarakat umum. Walaupun kita jauh beribu batu tapi teknologi internet telah merapatkan jurang ini untuk kemudahan kita bertanya dan berkomunikasi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan